Syarat dan jenis zakat

 


Assalamualaikum...
Apabila tiba ramadhan, pastinya zakat menjadi salah satu kemestian untuk segera ditunaikan.  Pemberian bantuan kepada orang susah atau miskin tidak boleh dianggap zakat kerana ianya tergolong dalam amalan bersedekah.

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ianya diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Rukun yang lain ialah Syahadah, Sembahyang, Puasa dan Haji ke Mekah. Zakat adalah diwajibkan ke atas Muslim yang layak untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan. Umat Islam mula diwajibkan berzakat pada tahun kedua Hijrah.

Ianya boleh ditunaikan di pejabat-pejabat jabatan agama Islam negeri dan daerah masing-masing serta di kaunter-kaunter yang biasa kelihatan berdekatan dengan bank atau di pusat membeli belah.  Tetapi sila pastikan pihak yang menerima pembayaran zakat itu adalah wakil sah yang telah diberi mandat oleh pejabat agama negeri masing-masing

Antara syarat wajib berzakat ialah :

Islam
Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja diambilkira untuk zakat.

Merdeka
Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali zakat fitrah. Walau bagaimanapun tidak timbul persoalan hamba abdi masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib berzakat.

Milik Sempurna
Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlakukan dan memperolehi manfaat daripadanya.

Cukup Nisab
Nisab adalah paras nilai minima yang menentukan samada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan. Nisab adalah bersamaan dengan 85 gram emas nilai semasa. Nilainya lebih kurang RM 10,300 (bergantung kepada harga semasa emas)

Cukup Haul
Cukup haul bermaksud genap setahun harta disimpan.

Niat Untuk Berniaga
Syarat ini hanya bagi zakat perniagaan sahaja.


Jenis zakat :

1.Zakat Pendapatan
-Zakat Gaji dan Pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli profesional.

2.Zakat Perniagaan
-2.5% atas harta perniagaan yang layak dizakatkan tertakluk kepada nisab.

3.Zakat Wang Simpanan
-Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.

Zakat dikenakan ke atas jumlah baki terendah dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.

4.Zakat Saham
-Dr. Yusoff Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh-Zakat mendefinisikan saham sebagai kertas berharga yang diperniagakan dalam transaksi-transaksi perdagangan khususnya di Bursa Malaysia.
  • Bagi sijil-sijil saham dalam sesebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, ianya mudah untuk dijadikan wang tunai dibandingkan dengan saham dalam syarikat yang tidak disenaraikan di Bursa Malaysia atau saham dalam koperasi.
  • Saham yang dibeli dari wang sendiri sahaja dikira manakala bahagian yang dibeli melalui pinjaman hendaklah ditolak kerana dikira tidak sempurna milik.
Saham yang disimpan di dalam syarikat yang membayar zakat perniagaan tidak perlu dizakatkan lagi.

5.Zakat KWSP
-Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diwajibkan zakat apabila dikeluarkan daripada simpanan tersebut. Ia berkonsepkan zakat simpanan atau mata wang. Jumhur Ulama' Fiqh sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh oran-orang Arab terdahulu dalam berurusniaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenali sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah S.A.W diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurusniaga. Kewajipan zakat wang simpanan ini bersandarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith Nabi S.A.W.

6.Zakat emas
-
Emas adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.
At- Taubah; ayat 34-35
Zakat emas dikira dalam dua keadaan.

Emas yang tidak dipakai (disimpan)

Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh:

2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Contoh : RM6,000 x 2.5%
Jumlah zakat    = RM 150

Emas yang dipakai

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menetapkan kadar uruf adalah 150 gram emas.

Contoh:

Berat Emas yang dipakai = 250 gram
Uruf Emas = 150g ram

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram - 150 gram = 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)
= 2.5% x (100 gram x RM 77.16)
= RM 192.90


7.Zakat perak 
-
Menurut hukum syarak, logam perak adalah termasuk dalam kategori jenis-jenis harta yang dikenakan zakat. Pada umumnya barang-barang logam perak yang digunakan oleh manusia terdiri dari 4 bentuk utama:

   Jongkong perak
   Matawang perak
   Perkakasan atau perhiasan rumah daripada perak
   Barang perhiasan / barang kemas perak

 Nisab dan kadar zakat perak

Ijma, ulama telah menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan 595 gram.

Dalil zakat perak

Sabda Rasulullah SAW

Maksudnya:
"..Tidak diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq (bersamaan lebih kurang 930 liter)". (Riwayat Muslim)
Maksudnya:
"Pada perak (zakatnya) 1/40...". (Riwayat Al-Bukhari )

Contoh pengiraan zakat perak

Berat barangan perak x harga semasa x 2.5%
Katakan Ahmad menyimpan 1,000 gram perak (telah melebihi nisab)

Kadar zakat = 2.5%
* harga semasa perak (contoh) = RM 0.62

Zakat =  1,000 gm x 0.62 x2.5%
=  15.50


8.Zakat pertanian
-Zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah negeri yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin-bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma, jagung, gandum dan sebagainya.

Dalil Zakat Pertanian

Firman Allah SWT bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu....". (Surah Al-Baqarah:267)

Syarat wajib zakat pertanian

  1. Islam
  2. Sempurna milik
  3. Merdeka
  4. Cukup Nisab - * cukup sukatan iaitu 5 Ausuk bersamaan 363 gantang Malaysia)
  5. Biji-bijian dan buah-buahan hendaklah ditanam oleh manusia
* Hasil tanaman yang tidak asas seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan lain-lain buah-buahan dikenakan zakat perniagaan jika diperniagakan.

9.Zakat ternakan
-Zakat ternakan adalah zakat yang wajib dikeluarkan apabila sempurna syarat-syaratnya. Haiwan ternakan yang diwajibkan zakat adalah kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta.

Dalil wajib zakat ternakan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Daripada Muaz Ibnu Jabal, beliau berkata: Baginda Rasulullah SAW telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu *musinnah (seekor lembu betina yang umurnya mencapi 3 tahun) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, **tabi`, atau tabiah (satu ekor lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun)." (Riwayat Ibnu Majah)
* Musinnah: Lembu betina berumur 2 tahun lebih
** Tabi`: Lembu jantan berumur 1 tahun lebih

Syarat wajib zakat ternakan

  1. Islam
  2. Sempurna Milik
  3. Merdeka
  4. Cukup Nisab (Genap Setahun)
  5. Binatang ternakan yang tidak digunakan untuk bekerja seperti membajak sawah, menarik kereta dan sebagainya.

Keterangan

Binatang yang hendak dizakatkan hendaklah yang sempurna dan tidak cacat seperti hilang kaki atau tangan dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk-buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau jadikan pemberian zakat." (Surah Al-Baqarah:267)





Previous Post
Next Post
Related Posts

Promosi

Babab.net