McDonald bakal bina surau di semua cawangan seluruh Malaysia


Rangkaian makanan segera terkemuka, McDonald’s merancang untuk menyediakan kemudahan surau di semua restoran baharu dibuka dan bakal diubah suai di seluruh Malaysia. Pengarah Operasi McDonald’s Malaysia, Mohd. Fairul Maan berkata, reka bentuk restoran akan disesuaikan dengan kemudahan itu bagi memenuhi keperluan pelanggan beragama Islam dapat menunaikan solat fardu.

Ia antara transformasi di premis sajian yang jadi tumpuan keluarga itu setelah ‘Lesen Pembangunan’ baharu untuk pasaran Malaysia kini dimiliki syarikat Arab Saudi, Reza Food Services menerusi Lionhorn Pte. Ltd. tahun lalu.

Setakat ini hanya terdapat kira-kira 15 restoran di seluruh negara yang sudah pun dilengkapi dengan kemudahan surau lebih selesa menerusi proses pengubahsuaian termasuk di McDonald’s Pandu Lalu Kuala Terengganu.

“Bagi tahun ini, kita merancang untuk ubah suai 20 lagi restoran serta ambil kira model surau sedia ada selain pelbagai kemudahan lain dengan teknologi canggih termasuk kios pesanan layan diri dan lain-lain lagi,” katanya.

Mohd. Fairul menyatakan demikian kepada para pemberita selepas hadir menyaksikan majlis pembukaan rasmi dengan wajah baharu McDonald’s Kuala Terengganu Pandu Lalu di ibu negeri Terengganu itu pada Sabtu.

Turut hadir sama pada acara tersebut ialah Pengurus Operasi McDonald’s Malaysia Wilayah Pantai Timur, Safna Sepian dan Pengurus Besar Restoran McDonald’s Cawangan Kuala Terengganu, Wan Muhairyzal Wan Muda.

McDonald’s Malaysia setakat ini memiliki 265 cawangan di seluruh negara dengan kira-kira 15,000 pekerja. Ia mula dibuka di Malaysia sejak 1982 dan pada 1996 lalu mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Lionhorn diterajui Sheik Fadh dan Abdulrahman Alireza pernah dilaporkan berhasrat buka 200 restoran baharu McDonald’s Malaysia dengan pelaburan RM1.4 bilion, dalam masa 10 tahun dan mewujudkan 6,000 peluang kerja.

Sementara itu, Mohd. Fairul menyasarkan pertumbuhan jualan antara 15 peratus hingga 20 peratus bagi restoran McDonald’s Kuala Terengganu Pandu Lalu susulan imej wajah baharu dan kemudahan canggih yang disediakan.

* Sumber : mybktv.net

Sebang Sentral : Nadi baru Pulau Sebang


Pulau Sebang akan berubah wajah menjadi sebuah bandar baharu menjelang tahun hadapan dengan pembinaan Sebang Sentral yang menggantikan Perhentian Bas Pulau Sebang Tampin sedia ada kini.
Bandar yang diwujudkan di tengah sempadan Melaka dan Negeri Sembilan itu bakal menyaksikan penjenamaan semula Pulau Sebang yang selama ini dibayangi bandar Tampin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pembinaan terminal pengangkutan awam berkeluasan 1.5 ekar bernilai kira-kira RM5 juta dijangka siap menjelang Januari 2019, bakal menaikkan nama Pulau Sebang.

“Dengan kelengkapan asas seperti surau, tandas awam dan kios, Sebang Sentral akan dilengkapi jejambat menghubungkan Stesen Keretapi Pulau Sebang / Tampin dan Pasaraya Mydin.

“Selain menjadi pusat sehenti moden menghubungkan pelbagai pengangkutan awam di satu tempat, ia dapat meningkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam,” katanya selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Sebang Sentral, Pulau Sebang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwang; Adun Gadek, Datuk M S Mahadevan dan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Ismail Hasim.

Pada lawatan tersebut, Idris turut melawat Stesen Keretapi Pulau Sebang / Tampin selepas mengalami transfomasi sejak dibina pada 1905 menghubungkan Tampin dan Seremban, sebelum landasan ke Gemas dibuka pada 1906.  Stesen lama yang menjalani pembinaan semula pada 1995 akhirnya dirobohkan sebelum sebuah stesen kereta api dua tingkat dibina pada 2013 semasa projek landasan berkembar dan elektrik dijalankan.

Idris berkata, bilangan penumpang keretapi juga dijangka meningkat lima kali ganda, di mana Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad mencatatkan kira-kira 1,000 penumpang menggunakan stesen itu setiap hari apabila Sebang Sentral siap kelak.


* Sumber : Sinar Harian | Utusan

Tahi bintang sebesar Burj Khalifah menghampiri Bumi ?



Bumi kini diancam kehadiran tahi bintang dalam kategori 'berpotensi berbahaya' yang sedang bergerak dengan kelajuan 122,310 kilometer sejam.

Asteroid 2002 AJ129 dikatakan bersaiz sebesar bangunan Burj Khalifa , di UAE yang dijangka melintasi Bumi pada 4 Februari ini dalam jarak 4.2 juta kilometer daripada planet kita.

Menurut Agensi Aeronautik dan Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), biarpun jarak laluan asteroid berkenaan melebihi 10 kali ganda antara jarak bumi dengan bulan, ia masih berada pada parameter yang 'berpotensi berbahaya' (yang mana klasifikasi ini digunakan untuk asteroid dalam lingkungan jarak 7.4 juta kilometer dari bumi).



"Asteroid itu berukuran 1.2 kilometer lebar dan berada pada kelajuan 122,310 kilometer sejam ketika berada di laluan paling dekat dengan bumi.

"Kedudukan itu merupakan kedudukan paling dekat jika dibandingkan dengan objek lain yang melalui bumi pada ketika itu.

"Kami telah menjejaki asteroid ini selama lebih 14 tahun dan telah mengenal pasti orbitnya dengan tepat.

"Berdasarkan pengiraan kami, asteroid 2002 AJ129 tidak berpotensi untuk merempuh bumi pada 4 Februari ini malah untuk 100 tahun akan datang," kata Paul Chodas dari Institut Teknologi California NASA.

Sumber terjemahan : Astro Awani

Babab.net

Popular Posts