Bantuan diperlukan

Bantuan diperlukan

Saya perlukan pertolongan dari pelawat blog ini, terutamanya yang berada di negeri Melaka agar sama-sama membantu mempromosikan perkhidmatan yang saya jalankan melalui syarikat saya iaitu ICT Niaga Enterprise (http://ictniaga.blogspot.com/). Saya mengharapkan para pembaca menghebahkan perkhidmatan yang disediakan oleh ICT Niaga Enterprise kepada sahabat-sahabat anda mahupun pada keluarga anda. Insya-Allah, saya akan berikan perkhidmatan dan servis sehabis baik kepada mereka yang menjadi pelanggan saya.

Perkhidmatan yang saya jalankan ialah :


  1. Jalan aksesori dan pakej komputer.
  2. "Upgrade" dan selenggara komputer.
  3. Membina serta mengemaskini laman web dan blog.
  4. Pengiklanan di internet.
  5. Edit video dan gambar digital.
  6. Menukarkan gambar foto biasa ke bentuk digital.
  7. Rekabentuk & mencetak kad berkos rendah.
  8. Pendaftaran bisnes "topup prepaid"
    (http://prepaid4u.net/?id=smskey)
Servis komputer di Kampung Tanjung Rimau Dalam

Servis komputer di Kampung Tanjung Rimau Dalam

Assalamualaikum...

Untuk makluman anda semua, saya masih lagi menawarkan perkhidmatan servis komputer di Kampung Tanjung Rimau Dalam dan kawasan sekitarnya seperti Pulau Sebang, Padang Sebang dan Gadek.

Ketika ini saya lebih banyak meluangkan masa di kedai yang beralamat di ICT Niaga Enterprise, Kelab Usahawan GIATMARA Melaka, Tingkat 4, Kompleks Hang Tuah ( Kompleks MARA ), Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka.

Bagaimanapun, bagi sesiapa yang inginkan perkhidmatan komputer masih boleh menghubungi saya sama ada melalui panggilan mahupun sms (kenalkan diri dan tujuan). Yang paling penting untuk anda ingati ialah "ICT Niaga Enterprise" sebagai syarikat servis komputer yang dimiliki oleh "anak Kampung Tanjung Rimau Dalam".

Sila lawati laman blog ICT Niaga Enterprise untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan perkhidmatan dari syarikat saya, iaitu di : http://ictniaga.blogspot.com
Kempen promosi di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka

Kempen promosi di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada tarikh 10 & 11 Disember 2008 yang lalu, iaitu pada hari rabu dan khamis, saya telah membuat promosi perkhidmatan di Kompleks Seri Negeri, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Ayer Keroh, Melaka . Lokasi promosi ialah di Lobi Auditorium Seri Negeri.

Seperti kempen promosi sebelum ini, saya melalui nama ICT Niaga Enterprise lebih menjurus kepada memperkenalkan nama ICT Niaga, lokasi premis dan perkhidmatan yang boleh didapati oleh bakal pelanggan.

Antara yang menunjukkan minat pada perkhidmatan yang penulis tawarkan ialah Perbadanan Melaka Holdings ( PMH ) Sdn Bhd. Melalui Encik Mat Faris Bin Mohd Taib, selaku "Manager Veneu Management & Product Marketing", PMH berminat untuk mendapatkan perkhidmatan membina dan selenggara laman web dan blog. Mereka ingin saya membina laman web bagi Perkampungan Ikan Bakar Terapung, Umbai Baru, Melaka.
Kedai peralatan sukan "Creative Sports"

Kedai peralatan sukan "Creative Sports"

Pada hari ini saya telah menerbitkan laman blog ke internet untuk Creative Sports. Creative Sports merupakan kedai peralatan sukan yang dimiliki oleh pemain bola sepak Leong Hong Seng, yang pernah bermain di beberapa buah negeri dan kelab seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan MK Land.

Creative Sports berhampiran dengan pasaraya Econsave Cash & Carry, Politeknik Kota Melaka serta Taman Balqis. Saya sendiri sudah beberapa kali datang ke sana dan mendapati lokasinya adalah strategik kerana berhampiran dengan jalan besar ke Melaka Sentral dan Bandar Melaka dan mempunyai beberapa kemudahan awam. Pelbagai barangan sukan berkualiti pada harga yang berpatutan memenuhi kedai milik Leong Hong Seng ini.

Pada satu sudut dikedainya, terdapat beberapa gambar "lama-lama" semasa penglibatan aktif beliau dalam sukan bola sepak. Beliau pernah menjadi rakan sepasukan Dollah Salleh ( Melaka - 1997 ) yang kini menjadi jurulatih untuk salah sebuah kelab di dalam Liga Malaysia.

Bagi anda yang ingin berkunjung ke Creative Sports, alamatnya adalah seperti berikut :

No.36, Jalan PPM 4,
Plaza Pandan Malim,
75250 Malim, Melaka.


PERHATIAN

Berita Terkini

Seperti yang diberitahu oleh saudara Leong Hong Seng, beliau memaklumkan bahawa kedai sukan berkenaan telah menamatkan operasinya dan tidak lagi menjalankan perniagaan di alamat di atas.... Untuk menghubungi beliau melalui facebook, sila taip "Leong Hong Seng" di ruangan carian Facebook.
Mengekalkan semangat di kala meniti pahit maung dalam dunia pernigaan

Mengekalkan semangat di kala meniti pahit maung dalam dunia pernigaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Dunia perniagaan orang Melayu kini sedang mengalami tranformasi dari segi budaya kerja dan sistem perlaksanaan pengurusan bisnes. Tetapi, masih lagi kedengaran "cakap-cakap" yang mengatakan bahawa orang Melayu berhasad dengki melihat kejayaan orang lain, irihati dan cemburu tak kena tempatnya, membomohkan atau mengenakan "ilmu hitam" pada orang yang dibenci dan pelbagai lagi kata-kata perumpamaan bersifat negatif. Semua ini seperti sukar dihapuskan dari hati orang Melayu.

Pelbagai kursus motivasi dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, sama ada untuk usahawan baru dan usahawan sedia ada, namun kesannya tidak konkrit ( kurang memberangsangkan ) pada usahawan bangsa Melayu. Jika dinilai kelebihan agama yang ada pada bangsa Melayu, agama Islam sendiri menggalakkan umatnya supaya berniaga, apatah lagi Nabi Muhammad s.a.w adalah usahawan yang unggul sepanjang zaman. Etika dan cara berniaga yang ditunjukkan serta diamalkan oleh Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan dikagumi oleh semua pihak. Atas sebab ini, orang Melayu yang menjadi ahli perniagaan perlu kembali merujuk kepada Al-Quran dan Hadis bagi memperkasakan ekonomi mereka, yang secara langsungnya memartabatkan imej agama Islam di seantero dunia.

Lain pula kisahnya pada usahawan Melayu yang telah menjalankan perniagaan, terutamanya bagi usahawan muda. Pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi bagi memulakan sesuatu usaha niaga. Antara masalah yang dirasakan "amat popular", yang dihadapi mereka adalah kurangnya sokongan dari keluarga. Maksud sokongan dari keluarga di sini, bukan hanya dari segi kewangan ( modal ), tetapi juga amat penting dari segi sokongan moral.

Sokongan moral dari keluarga memainkan peranan yang sama pentingnya dengan keperluan penyediaan modal ( Ringgit Malaysia ). Contohnya, apabila prestasi perniagaan bagi bulan pertama atau tahun pertama tidak memuaskan, para usahawan muda seringkali cepat mengalah dan mengeluh, di mana ia memungkinkan fikiran seseorang usahawan itu cenderung kepada perkara yang tidak sihat. Jika dibiarkan ia boleh memudaratkan sesuatu perniagaan baru. Di sinilah peranan keluarga perlu dipergiatkan lagi, yang mana menjadi salah satu faktor pengekalan semangat bagi usahawan muda.

Tidak semestinya tahun pertama sesuatu perniagaan terus berjaya dan memperolehi keuntungan. Memang iya, keuntungan adalah antara matlamat utama dalam sesuatu perniagaan, namun apa yang lebih penting pada usahawan atau syarikat yang baru adalah usaha yang berterusan bagi mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan serta pengekalan semangat apabila dilanda masalah. Tanpa semangat yang jitu dan berterusan, kita tidak dapat melihat penciptaan kenderaan, telefon, mentol, komputer dan lain-lain barangan yang kita gunakan pada hari ini.

Bayangkan jika para pereka dan pencipta dahulu cepat berputus asa apabila menemui kegagalan dalam setiap rekaan mereka, pastinya tidak wujud ciptaan atau barangan yang telah saya nyatakan di artikel ini. Malah saya juga tidak dapat menaip artikel ini untuk paparan para pembaca....
TIP PILIHAN: Biar kecil asalkan berhasil

TIP PILIHAN: Biar kecil asalkan berhasil

Tips dari Irfan Khairi.

Terlalu banyak perniagaan saya lihat "membesar" dengan cepat dan kemudiannya, habis rebah... kalau tak rebah pun, "surviving". Take note, saya gunakan perkataan "membesar" bukan maksudnya "mengembang". Perniagaan yang mengembang is good. Perniagaan yang membesar ni adalah, bila belum mempunyai pelanggan yang ramai, atau belum ada banyak job, terus menyewa ofis besar... ofis mahal. Belum jadi hebat, terus beli kereta besar. Belum banyak jobs, terus dapatkan ramai pekerja... untuk meramaikan pejabat yang besar tu tadi.

Perkara ini sering terjadi oleh kerana salah anggap bahawa, untuk menjalankan perniagaan yang berjaya, perlu ada kesemuanya besar - pejabat, kereta, pekerja (ramai... bukan besar. kalau pekerja besar,lain cerita ). Usahawan beranggap, kalau semuanya "kautim", semuanya boleh nampak dek mata, perniagaan pun akan jadi besar dan hebat. Tidak semestinya! Pada peringkat awal, apa yang penting, bukanlah pejabat, kereta, pekerja dan sebagainya, tetapi, apa yang penting adalah pastikanterdapatnya pelanggan! Pastikan terdapatnya jobs berbayar untukdilakukan. Bila anda mendapatkan semuanya besar-besar, nanti overhead perniagaan pun besar juga. Dan sekiranya tiada aktiviti perniagaan atau kurang aktiviti perniagaan untuk menampung overhead yang besar, maka di situlah banyak perniagaan terperangkap dalam kitaran"surviving". Maklumlah, overhead sampai RM15,000-RM20,000 sebulan. Maknanya nak cover cost sahaja perlu business >RM20,000.

Itu baru cost... nak bayar diri sendiri dan promosi perniagaan,bagaimana pula? Jadi, berhati-hati bila memulakan perniagaan. Jangan terperangkap dengan kitaran ini. Seperti saya, dan ramai lagi usahawan-usahawanlain, start small. Kembang sedikit demi sedikit. Tak salahnya bermula kecil. Jaringan gergasi BodyShop, Cadbury, HP semuanyabermula dengan hanya tempat kecil sahaja dengan diri sendirisebagai usahawan, penjual dan melayan pelanggan! Bak kata mentor saya jutawan senyap, Chef Li: Biar kecil, asalkan berhasil!

ps: Dapatkan strategi 8 mentor jutawan di http://www.irfankhairi.com/mentor

~ sumber dari :( http://by112w.bay112.mail.live.com/mail/ApplicationMain_13.1.0132.0805.aspx?culture=en-MY&hash=1225877014# )
Kembara promosi bisnes

Kembara promosi bisnes

Dalam bulan Oktober ini, saya giat untuk mempromosikan perkhidmatan yang disediakan oleh ICT Niaga Enterprise. Untuk tujuan itu, saya telah menghantar surat kepada beberapa organisasi untuk mengadakan promosi di tempat mereka seperti di UiTM Bandar Melaka, FAMA, MARDI serta beberapa tempat lagi di sekitar Melaka.

Dalam kembara promosi bisnes ini, saya tidak bersendirian. Saya bekerjasama dengan pemilik Wannor Spa & Beauty (http://wannorspa.blogspot.com) sepanjang kempen promosi ini berlangsung. Kami secara bersama-sama membuat promosi ini serentak di tempat yang telah dinyatakan.

Maklumat lanjut akan saya nyatakan di dalam blog jika ada perkembangan terkini.

Selamat Hari Raya Idulfitri


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Syukur kepada Allah kerana kita berkesempatan untuk menyambut bulan Syawal dalam suasana tenang dan aman.

Dalam tahun pertama penulis memulakan perniagaan di Kompleks MARA ( Kompleks Hang Tuah ) ini, penulis sedar hakikat bahawa penulis perlu melakukan promosi dengan lebih giat lagi memandangkan masih ada bakal pelanggan yang ragu-ragu untuk masuk ke kedai penulis dan bertanyakan perkhidmatan yang sediakan.

Pada hari ini (09/10/2008 ), seorang wartawan "free lance" datang ke kedai penulis untuk bertanyakan perkhidmatan yang diinginkannya kerana beliau sekarang dalam proses untuk menerbitkan buku yang berkaitan kekeluargaan di Melaka ini. Nampaknya beliau benar-benar berminat untuk menggunakan perkhidmatan ICT Niaga Enterprise dalam kerja-kerja penerbitan buku tersebut.

Selain itu, atas cadangan wartawan bebas tersebut, saya dijemput untuk memberi ceramah kepada belia Kampung Morten, Melaka untuk menerangkan tentang perniagaan beli-jual topup prepaid melalui sms. Tujuannya untuk membuka minda para belia di Kampung Morten agar membiasakan diri dalam dunia perniagaan semasa usia muda. Selain dari perniagaan topup prepaid, jenis perniagaan lain akan diperkenalkankemudian. Untuk tujuan tersebut, beliau akan mencadangkan nama saya pada ketua UMNO Kampung Morten dan meminta supaya dikumpulkan mana-mana belia yang berminat mempelajari dunia perniagaan dan mencari-cari perniagaan yang mudah dan halal agar datang mendengar ceramah saya mengenai bisnes di tempat mereka.
Perkembangan terkini ICT Niaga

Perkembangan terkini ICT Niaga

Assalamualaikum...

Disini penulis ingin memaklumkan bahawa di premis penulis iaitu ICT Niaga Enterprise, 1.3B Tingkat 1, Kompleks MARA, Jalan Hang Tuah telah mempunyai semua kemudahan yang diperlukan seperti bekalan elektrik,talian telefon dan talian internet.

Oleh yang demikian, penulis dapatlah menjalankan semaksimum perkhidmatan yang disediakan untuk pelanggan di sekitar Jalan Hang Tuah mahupun di seluruh Melaka. Sasaran pelanggan penulis adalah pelajar-pelajar dari UiTM Bandar Melaka, KPM Melaka dan UTeM. Penulis berusaha memberikan perkhidmatan yang baik serta harga yang berpatutuan, yang menjadi "mesra ringgit" pada pelajar-pelajar tersebut. Lawat laman blog ICT Niaga iaitu di http://ictniaga.blogspot.com
Satu sudah selesai, menanti yang lain pula

Satu sudah selesai, menanti yang lain pula

Pagi tadi dalam pukul 11 lebih syarikat AWADA, iaitu syarikat penyedia alat pemadam api telah menghantar pesanan saya bagi alat pemadam api khas untuk perniagaan berkaitan komputer yang berharga RM165.00. Walaupun ia dihantar lambat dari tarikh dan masa yang sepatutnya, namun saya tetap rasa gembira kerana telah selesai salah satu perkara yang perlu diselesaikan.

Ketika ini menanti pula bekalan elektrik, sambungan talian telefon dan permohonan lesen dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
Satu lagi pengalaman GAGAL yang amat menggembirakan

Satu lagi pengalaman GAGAL yang amat menggembirakan

Assalamualaikum..., salam sejahtera....,

Sebelum ini penulis telah banyak mengalami peristiwa kegagalan, sama ada berskala besar atau kecil. Namun peristiwa yang terbaru ini, mempunyai ironinya yang tersendiri.

Melalui syarikat milik penulis iaitu ICT Niaga Enterprise, penulis telah mendapat tempahan Unit Pemprosesan Pusat ( CPU ) dari GIATMARA KOTA MELAKA. L.O yang penulis terima tersebut bertarikh 10/03/2008, namun pada 02/06/2008 apabila penulis menghadiri mesyuarat Kelab Usahawan GIATMARA Melaka di GIATMARA KOTA MELAKA, seorang "pekerja" di tempat tersebut memberitahu pada penulis bahawa tempahan itu dibatalkan atas alasan "valid time" untuk L.O tersebut melebihi 3 bulan, sedangkan mengikut perkiraan penulis, masih ada lagi masa beberapa hari untuk penulis mengumpul modal untuk mengambil barang dari pembekal. Nampaknya mereka telah membatalkan lebih awal dari tarikh "valid time" 3 bulan.

Macam cerita dongeng, penulis yang merupakan penuntut lepasan GIATMARA KOTA MELAKA sendiri tidak mendapat simpati serta sokongan untuk menjayakan urusniaga ini. Sebenarnya mereka boleh mendahulukan cek bayaran pesanan / tempahan tersebut kepada penulis ataupun melanjutkan lagi tarikh 3 bulan itu, kerana penulis telah bersusah-payah membuat projek & ambil upah yang kecil nilainya, buat pinjam atas pinjam, namun masih tak cukup modal lagi RM1690.00.

Bukannya penulis tidak berusaha untuk selesaikan masalah kekurangan modal. Segalanya telah penulis cuba. Dengan pihak TEKUN pula, masa yang diambil untuk menilai permohonan pinjaman lama sangat, iaitu selama 45 hari. Itu belum tentu dapat atau tak. Cuma penulis belum lagi berjumpa & buat pinjaman dari "Ah Long" atau "Ah Ngah". Ada juga bekas pengajar GIATMARA tersebut, "marah" kepada penulis sebab kononnya kerana dialah penulis telah mendapat "projek" dari GIATMARA KOTA MELAKA, tetapi penulis pula yang tidak dapat menyelesaikannya. Dia bertanya kepada penulis, adakah penulis telah jajakan surat L.O itu kepada bank...

Cuba pembaca fikirkan, bank mana yang nak luluskan projek kecil yang bernilai lingkungan RM4 ribu...? Jawapan pada penulis..: "TAK ADA LANGSUNG!!!". Pihak bank akan pandang pada projek bernilai puluhan ribu ringgit dan ke atas sahaja. Dahlah dahulu pengajar itu telah menolak kepala penulis dengan jarinya, tapi sampai sekarang tidak minta maafpun... (menunjal kepada orang lain dengan jari atau dengan apa saja adalah satu perbuatan kurang ajar). "Pekerja" yang memberitahu tentang pembatalan tempahan itu telah menggunakan intonasi suara, gaya bahasa dan mimik muka yang boleh menyakitkan hati orang lain, orang yang tak ada perasaan sahaja yang tak rasa apa-apa, penulis faham maksud tersirat, cuma penulis malas nak cakap banyak dengan "kaki Blue" itu.

Namun ironinya, penulis juga berterima kasih yang teramat sangat pada pihak berkenaan kerana menghadiahkan pengalaman kegagalan ini pada penulis. Sebabnya kita hanya dapat belajar dengan lebih banyak dari KEGAGALAN, berbanding dengan kejayaan sahaja...

~p/s : tak merajuk cuma hati terguris sikit...
Perkembangan ICT Niaga Enterprise

Perkembangan ICT Niaga Enterprise

Assalamualaikum...

Di sini penulis ingin memaklumkan bahawa syarikat milik penulis iaitu ICT Niaga Enterprise, telah mendapat tawaran penyewaan premis di 1.3B Tingkat 1, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, Melaka.

Pada hari ini, dalam pukul 3.00 petang penulis telah membuat bayaran deposit sewa premis di pejabat MARA Tingkat 5, Plaza Usahawan. Tetapi penulis belum tahu lagi tarikh sebenar perniagaan akan dimulakan di tempat tersebut, namun penulis menjangkakan ia akan beroperasi dalam bulan ini juga.

Oleh itu penulis berharap agar rakan-rakan semula akan memberi sokongan kepada penulis dengan menggunakan perkhidmatan dari syarikat penulis ini dan jika "ringan mulut", penulis memohon jasabaik rakan-rakan serta pembaca semua yang tinggal berhampiran dengan premis ICT Niaga Enterprise, tidak kira sama ada di Kampung Tanjung Rimau Dalam mahupun di Kompleks Hang Tuah agar menghebahkan perkhidmatan komputer syarikat milik penulis ini.

Doakan penulis berjaya dengan perniagaan di tempat baru dan lama ini, agar kejayaan penulis ini dapat menyumbang beberapa peratusan pada hasrat kerajaan agar orang Melayu memiliki penguasaan ekonomi Malaysia sebanyak 30%.
Memang Melayu Mudah Lupa (bahagian 2)

Memang Melayu Mudah Lupa (bahagian 2)

Penulis ingin menyambung artikel ini setelah sekian lama tidak menulis di blog...

Terdapat banyak kisah yang seumpama dengan tajuk artikel di atas dalam kehidupan kita. Mudah lupa pada jasa serta kebaikkan yang dibuat oleh seseorang seperti peribahasa "kacang lupakan kulit" ini bukan hanya berlaku pada bangsa Melayu sahaja malah bangsa-bangsa lain di Malaysia juga menghadapi keadaan yang sama, tetapi masalah mereka tidak ketara dan serius seperti yang dialami oleh bangsa Melayu.

Kisah yang ingin penulis sampaikan ini berlaku pada diri penulis ketika menyambung pelajaran di Institut Teknologi Tun Abdul Razak ( ITTAR ), Kuala Lumpur. Ada kebenarannya pada ayat berikut iaitu "BUAT BAIK BERPADA-PADA". Kelemahan penulis ialah terlalu setia dan baik hati dalam persahabatan. Penulis akan merasakan "panas hati" apabila ada kawan yang kononnya baik dengan penulis dikutuk, dikritik atau diperlakukan apa-apa yang tidak baik pada mereka.

Apabila ada kawan penulis yang memerlukan wang, sama ada untuk sara hidup, belanja untuk membuat tugasan atau lain-lain, penulis akan berusaha membantu mereka sedaya yang boleh. Ada dua kisah antara kisah-kisah yang ingin penulis kisahkan kepada para pembaca...:

Kisah 1 ) Salah seorang "kawan" penulis pernah meminta bantuan daripada penulis supaya membeli tiket tempahan tempat untuk majlis makan malam amal yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar ITTAR PJ, yang mana kekasihnya terlibat dalam penganjuran tersebut. Oleh kerana kawan penulis pun tiada wang ketika itu, maka kawan penulis itu merayu supaya penulis membeli tiket makan malam amal untuknya. Tidak perlulah penulis memberitahu berapa nilai "Ringgit Malaysia" yang telah penulis keluarkan untuk membeli dua tiket makan malam tersebut kerana apa yang penulis ingin tegaskan di sini ialah "ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA". Ketika itu penulis tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya, tetapi apabila penulis mengenangkan dia adalah "kawan baik", maka penulis bersusah-payah mencari wang untuk tujuan tersebut. Selain dari peristiwa ini, banyak lagi peristiwa yang berlaku antara penulis dengannya.

Setelah beberapa lama selepas itu, apabila penulis pula yang kesempitan wang dan meminta pertolongan daripadanya, pelbagai alasan yang diberikan. Pernah juga penulis "bergaduh besar" dengannya yang berlanjutan disebabkan wang, maka diapun mengungkit-ungkit jasa-jasa yang telah dia lakukan pada penulis dan yang paling menyakitkan hati ialah dia mengatakan yang dia menyesal berkawan dengan penulis kerana membazirkan masanya serta menganggap penulis sudah mati dan tidak pernah kenal dengan penulis. Penulis sendiri tidak ingat berapa lama masa selepas dia memutuskan persahabatan itu, penulis telah cuba berbuat baik dan ingin bersahabat semula dengannya. Walaupun sukar untuk melupakan segala kata-katanya, penulis tetap bersahabat dengannya.

Ketika ini kawan tersebut telah mempunyai kerja tetap yang mempunyai pendapatan yang boleh membuatkannya hidup selesa. Penulis pernah menghantar sms padanya dalam tahun ini kerana memerlukan bantuan kewangan darinya. Penulis hanya meminta RM100.00 ataupun RM50.00 darinya sebagai belanja untuk penulis bergerak membuat promosi bisnes dan duit tambang bas. Penulis menyatakan kepadanya jika dia tidak menganggap permintaan penulis itu sebagai sedekah, maka anggaplah itu sebagai pinjaman. Tetapi dia hanya menyepikan diri, sedangkan sebelum itu kawan penulis tersebut ada menelefon dan berbalas sms dengan penulis. Walaupun penulis ketika ini mempunyai bisnes perkhidmatan komputer, tetapi ia belum mencapai tahap yang memuaskan kerana penulis menjalankan bisnes di rumah, belum berkemampuan untuk menyewa kedai di kawasan yang lebih komersil.

Beberapa minggu selepas sms dihantar kepadanya, kawan penulis tersebut ada menelefon penulis, bertanyakan khabar tetapi tidak sedikitpun berkata mengenai sms tersebut dari penulis kepadanya. Penulis semestinya tidak akan cuba bertanyakan kepadanya kerana penulis juga ada maruah yang perlu dijaga. Sekian lama penulis beralah dan merendahkan diri mengemis simpati, namun kesusahan diri penulis tidak dipedulikan. Persoalan dari penulis kepada para pembaca yang budiman, adakah benar-benar Melayu memang mudah lupa...?

Bersambung...
Memang Melayu Mudah Lupa (bahagian 1)

Memang Melayu Mudah Lupa (bahagian 1)

Assalamualaikum dan salam usahawan...

Melihatkan tajuk di atas (Memang betul, Melayu mudah lupa ), saya terpaksa menerima dengan berat hati hakikat sebenar sikap orang Melayu.... Penulis sendiri telah acap kali mengalaminya dan kini sedang mengalaminya.

Jika dibaca pada artikel penulis yang lepas dalam tahun 2007, pasti pembaca tahu di mana tempatnya penulis bekerja sementara untuk meninjau peluang pemasaran bagi perniagaan penulis (bidang pengkomputeran). Cukuplah penulis hanya memberitahu bahawa ada usahawan Melayu yang bersikap kedekut dan mudah lupa. Penulis sanggup terima tawaran gaji yang kecil, tiada KWSP,PERKESO,SOCSO atau lain-lain hak yang diperlukan oleh pekerja serta penulis banyak membawa pembaharuan kepada kedai tempat penulis bekerja sekarang ( termasuk menambah kecekapan operasi dan membawa masuk sistem pengiraan harga servis berkomputer ).

Penulis tak berkira sangat sebab kedai ini adalah milik orang Melayu. Tetapi bila penulis "menumpang" sedikit ruang untuk menjalankan perniagaan penulis, pemilik kedai serta anaknya sudah "bising". Pada pendapat penulis, apa yang penulis lakukan ini tidak menjejaskan perniagaan mereka kerana mereka menjalankan perniagaan "stationaries", jauh berbeza dengan perkhidmatan servis komputer dari penulis. Penulis membawa pulang CPU atau laptop ke rumah untuk diselenggarakan, bukannya dibuat di kedai ini, kecuali bila terpaksa menggunakan internet.

Kesimpulannya sebilangan usahawan Melayu tidak "membuka mata dan minda" tentang kebaikkan untuk jangkamasa panjang bagi orang seperti penulis ini berada disamping mereka. Penulis sudah banyak berkorban tetapi mereka berkira sangat dengan penulis...

Produk dari Irwan Dahnil

Assalamualaikum...

Di atas adalah antara buku-buku yang telah dihasilkan oleh Irwan Dahnil ( abang Wan ),sudahpun berada dipasaran. Terdapat di kedai-kedai buku utama di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku-buku ini atau promosi Seminar Perniagaan SMS, sila layari laman web berikut :

Usahawan Melayu yang dikagumi

Irwan Dahnil ( Usahawan SMS)


Irwan Dahnil bersama Billi P.S Lim
Penulis buka best seller "Dare To Fail"

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca...


Gambar di atas adalah salah satu usahawan Melayu yang penulis kenali semasa penulis menyambung pelajaran di Institut Teknologi Tun Abdul Razak Kuala Lumpur dari tahun 2001 hingga 2004 dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat.

Beliau yang penulis panggil "abang Wan" pada ketika itu membuka sebuah kafe berinternet di hadapan ITTAR. Dengan lokasi perniagaan yang strategik, layanan mesra terhadap pelanggan serta ketokohan beliau dalam dunia usahawan, membuatkan perniagaan abang Wan mendapat sambutan menggalakkan.

Dengan menggunakan segala pengalaman dan ilmu yang ada, kini abang Wan yang disebut sebagai guru perniagaan SMS Malaysia, merupakan penulis buku “Buat Duit Dengan SMS”, buku berbahasa Melayu pertama yang mendedahkan mengenai potensi perniagaan SMS. Bagi beliau, bekerjasama dengan mereka yang telah berjaya, dapat mempercepatkan proses pembangunan sesuatu perniagaan dalam situasi ‘menang-menang’.

Untuk mengembangkan kaedah pemasaran yang paling pantas yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini, beliau sering mengadakan seminar dan bengkel bagi memberi pendedahan dan ‘awareness’ kepada usahawan dan pemilik perniagaan. Sasaran beliau supaya lebih ramai yang akan berkecimpung dalam bidang perniagaan, yang hasilnya nanti dapat dilihat dari segi sumbangan usahawan dalam pembangunan ekonomi masyarakat.
Cawangan di Ayer Keroh Heights, Melaka

Cawangan di Ayer Keroh Heights, Melaka

Assalamualaikum...

Seperti yang pembaca sedia maklum, penulis menjalankan bisnes perkhidmatan komputer di Kampung Tanjung Rimau Dalam, Alor Gajah Melaka dengan konsep "pengkalan perniagaan di rumah". Dalam akhir bulan Januari 2008 ini, penulis akan berpindah rumah ke Ayer Keroh Height, Melaka dengan konsep perniagaan yang sama. Alamatnya adalah seperti berikut :

Ahmad Zaki
847 Jln Utama
Ayer Keroh Heights
75450 Melaka.
Cawangan di Kg. Tanjung Rimau Dalam masih dikekalkan.

Rakan usahawan dari Tampin, Negeri Sembilan



Hajah Zahara Binti Said

Antara syarikat yang mempunyai operasi di dalam kawasan daerah Tampin, Negeri Sembilan ( dahulu penulis bersekolah rendah & menengah di Tampin ) ialah Projek Wira Bagan Sdn. Bhd, yang mengeluarkan ubatan asli tradisional Melayu.

Projek Wira Bagan Sdn Bhd beroperasi di alamat :

Perubatan Alternatif Rembaga,

No.1, Gerai Kompleks Sukan,

73000 Tampin, Negeri Sembilan D.K.

Jika anda ingin berurusan dengan syarikat ini, sila hubungi :

Haji Mohd. Amar Bin Haji Nawi
019 - 623 7129
Hajah Zahara Binti Said
013 - 684 5307

Nyatakan kepada mereka dari mana anda mengetahui perniagaan mereka ini...
Dilema memulakan perniagaan

Dilema memulakan perniagaan

"Memulakan perniagaan...",pasti terlintas di benak mereka yang memikirkannya bahawa perlukan sejumlah modal yang agak besar untuk beroperasi pada pertama kali. Tanggapan sebegitu, walaupun ada kebenarannya namun ianya bukan menjadi penghalang teras untuk seseorang memulakan perniagaan milik sendiri. Besar atau kecil modal yang perlu dikeluarkan bergantung pada jenis perniagaan atau perkhidmatan yang mahu diniagakan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berminat dalam bidang masakkan malah mempunyai kemahiran memasak dan membuat beberapa jenis lauk-pauk serta kuih-muih, modal yang diperlukan mungkin hanya dalam lingkungan puluhan ringgit sahaja untuk membeli bahan-bahan mentah. Kebanyakan perkakasan asas untuk memasak sudah sedia ada di dapur rumah kita.

Pada masa kini di kampung, penduduknya sudah mula menjadi seperti penduduk di pekan dan bandar. Mereka hanya membeli kuih-muih dan makanan di gerai atau kedai makan yang terdapat di kawasan mereka, yang mana dahulunya kuih-muih dan lauk-pauk itu dibuat oleh suri rumah. Fenomena ini terjadi kerana kebanyakan warga tua sudah meninggal dunia dan mungkin tidak memperturunkan ilmu memasak kepada anak-anak mereka ataupun anak-anak mereka sendiri yang kurang berminat untuk mempelajarinya. Ditambah lagi dengan penghijrahan "golongan pencen" dari pekan dan bandar ke kampung halaman, menunggukan rumah pusaka. Nah.., di sinilah peluang perniagaan wujud, walaupun anda tinggal di kawasan kampung, kalaulah anda tinggal di kawasan pekan dan bandar, lagilah mudah anda membuat untung.

Untuk menjual hasil masakkan pula bergantung pada persekitaran tempat tinggal anda. Jika anda tinggal di kampung,anda mungkin tiada masalah untuk menjual kuih-muih atau jenis masakan lain di dalam kawasan rumah anda dengan membina gerai kecil sebagai tapak asas untuk berniaga, malah jika anda boleh dapatkan kebenaran untuk berniaga dari ketua kampung dan tuan punya tanah terbiar, anda berpeluang mendirikan gerai yang lebih kukuh. Biasanya tiada lesen diperlukan untuk jenis perniagaan sebegini ( bergantung pada polisi pihak berkuasa tempatan ). Tetapi pastikan lokasinya strategik iaitu berhampiran dengan laluan yang kerap digunakan penduduk kampung ataupun penduduk di sekitarnya. Dalam erti kata lain, pastikan bakal pelanggan mudah untuk mengunjungi gerai anda.

Sekiranya anda tinggal di pekan atau bandar, konsep menjaja makanan di jalanan lebih sesuai, sekiranya anda sukar untuk mendapatkan tapak berniaga ataupun lesen. Semuanya bergantung kepada daya usaha dan kreatif anda, asalkan anda melakukan yang "halal" mengikut agama Islam dan undang-undang pihak berkuasa tempatan.

Konsep yang sama juga boleh digunakan untuk memperniagakan kemahiran anda dalam bentuk perkhidmatan. Seperti penulis sendiri, memulakan bisnes menyelenggara serta menjual komputer, menjual topup dan beberapa bisnes lain yang berkaitan dengan "ICT" melalui rumah sahaja. Penulis tak perlu mengeluarkan modal beratus-ratus atau ribuan ringgit untuk memulakan bisnes ini, cuma menggunakan apa sahaja yang ada pada itu sebagai modal ( modal tidak semestinya daripada wang ). Kebanyakkan urusan dibuat oleh penulis sendiri seperti membuat "business card" dan iklan pelbagai jenis.

Penulis juga tidak segan untuk menggunakan "banner" terpakai, yang mana bahagian belakangnya masih boleh digunakan lagi. Apa yang penting ialah penulis dapat "menghebohkan" bisnes perkhidmatan komputer ini pada orang ramai yang melalui jalan di hadapan rumah penulis. Selain itu, penulis berusaha mencari pelanggan di luar kawasan tempat tinggal ketika ini. Penulis juga selalu membawa "card holder" yang mengandungi "business card" ke mana sahaja penulis pergi, walaupun hanya pergi ke masjid untuk bersolat dan penulis hanya berjalan kaki...
Selamat tahun baru, 2008...!!!

Selamat tahun baru, 2008...!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini adalah pertama kali penulis menulis semula di blog ini setelah lebih kurang sebulan tidak menggunakan internet.

Di tahun baru ini penulis mengharapkan negara kita kian makmur tanpa sebarang perselisihan faham yang membawa kepada pertelingkahan, ekonomi bangsa Melayu kian kukuh dan Islam kian subur di "bumi bertuah" ini.

Penulis juga mengharapkan dan meminta jasa baik para pembaca blog ini agar mendoakan kelancaran, kemajuan serta pencapaian yang membanggakan dalam bisnes yang penulis ceburi dan tercapai hajat penulis untuk menjadi "USAHAWAN JUTAWAN". Semoga tahun 2008 ini memberikan kejayaan dan kekayaan kepada kita semua....

Promosi

Babab.net