Biodata Raja Ahmad Kamil bin Raja Mokhtar (Kartunis Ubi)

 

Pernahkah anda membaca Majalah Ujang (versi awal)?. Saya mula membacanya dan menjadi peminat majalah berkenaan, kalau tidak silap dalam tahun 1995.  Semasa itu watak "Din Beramboi" amat terkenal dan majalah berkenaan sering mengadakan pelbagai peraduan untuk para peminat dan pembeli.

Melalui majalah ini, beberapa orang pelukis kartun berjaya dikadetkan oleh Ujang ( Ibrahim Anon) selaku pemilik dan pencipta asal Majalah Ujang dan tampillah beberapa orang kartunis yang menggunakan nama sayur dan buah-buahan seperti petai,kobis bunga, padi, ciku, lengkuas dan lain-lain. alah seorang dari pada mereka ialah Ubi.


 
salah satu watak ciptaan kartunis Ubi yang popular


Berikut adalah maklumat mengenai kartunis Ubi, yang diambil dari laman web beliau :

Ubi atau nama sebenar mengikut I/Cnya adalah sebagai Raja Ahmad Kamil bin Raja Mokhtar, telah dilahirkan pada 26 Jun puluhan tahun yang lalu di Hospital Besar Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia.

Beliau membesar bersama ibunya dan 3 orang lagi adik beradiknya di Taman Tas Kuantan Pahang. Sejak beliau kecil lagi, ibunya yang penyayang lagi tabah tersebut sering membeli majalah kartun Gila-Gila (dan beberapa majalah hiburan lain lagi) sebagai bacaan santai mereka seisi keluarga. Kerana terpengaruh dengan majalah tersebut dan juga ketidakcemerlangannya dalam bidang sukan, Ubi telah menjadikan melukis kartun sebagai satu cara untuknya mengisi masa lapang dan juga untuk berlagak best pada kawan-kawan yang cemerlang dalam sukan.

Ketidakcemerlangannya dalam bidang sukan terus dikekalkan sehingga ke sekolah menengah. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila akademiknya juga turut merosot. Berdasarkan faktor-faktor tersebut, beliau dengan terdesaknya telah mengambil keputusan untuk menjadikan kerjaya kartunis yang kononnya glamour itu sebagai cara untuknya berjaya dalam hidup, dan juga sebagai batu loncatan untuknya berkenalan dengan artis-artis atau model-model yang cantik lagi glamour.



Berkat semangat model dan artis, Ubi telah berjaya menempatkan diri dan karyanya di Majalah Ujang pabila tamat persekolahan. Boleh dikatakan beliau adalah kartunis yang terbudak di situ pada ketika itu. Sepanjang penglibatannya di majalah tersebut, Ubi telah berjaya menipu ribuan orang untuk membaca dan meminati hasil karyanya seperti ‘Budak Hostel’ (1994-1997), ‘Aku, Dia & Volkswagen’ (1997-2002) dan ‘IN’ (1999-2002). Penipuannya itu juga turut membuatkan beliau berjaya melariskan puluhan ribu buku koleksi karya kartunnya.

Pada hari ini, selain daripada membuang masa dengan bermain PS2, menonton DVD cetak rompak, Ubi juga adalah seorang kartunis, pelukis komik, karikatur dan lelaki bebas sepenuh masa. Dan pada hari ini juga, ketika artikel ini ditulis, Ubi masih lagi menggunakan kartunnya untuk berlagak best pada kawan-kawan yang cemerlang dalam arena sukan serta masih lagi berusaha untuk dapat berkenalan dengan mana-mana artis atau model yang cantik lagi glamour….
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 Maklumbalas:

Promosi

Babab.net