Penafian MRT Corp tentang kenderaan jatuh dalam lubang di Jalan Bukit Bintang


Susulan kejadian mendapan tanah yang berlaku pagi pada 23 April 2014 (Rabu), laluan Jalan Bukit Bintang (menghala ke Jalan Tun Razak) antara Chulan Square dan Menara Worldwide telah ditutup pada hari yang sama.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata penutupan jalan raya telah dilaksanakan dengan serta-merta selepas Kontraktor Kerja Projek MRT Bawah Tanah KVMRT (T ) Sdn Bhd mengesan mendapan di bawah laluan pejalan kaki.

"Setelah mengesan mendapan, kontraktor dengan segera mengerahkan Pasukan Kecemasan (ERT) ke lokasi dan menghubungi pihak berkuasa.

"Keputusan dibuat berdasarkan kepada prosedur operasi standard projek MRT untuk menutup laluan sepanjang 500 meter di Jalan Bukit Bintang arah Jalan Tun Razak bagi mengurangkan risiko terhadap orang awam.

"Pihak polis dan kakitangan ERT juga telah dikerahkan ke lokasi untuk mengawal laluan trafik," kata MRT Corp di dalam satu kenyataan media.

MRT Corp berkata penutupan , yang bermula dari jam 9 pagi, adalah supaya membolehkan kerja-kerja pengukuhan tanah dijalankan. MRT Corp turut berkata Jalan Bukit Bintang ditutup sehingga pukul 6 pagi, 24 April  2014.

"Semasa penutupan jalan itu, laluan trafik kontra telah dilaksanakan dengan kenderaan dari Bukit Bintang menuju ke Jalan Tun Razak diarahkan ke dua lorong yang bertentangan (menghala ke Bukit Bintang). "Dua lagi lorong masih terbuka untuk kenderaan yang menghala ke  Bukit Bintang."

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak berkata mendapan itu tidak menyebabkan lubang besar sehingga membolehkan kereta jatuh ke dalamnya atau kerosakan harta benda.

"Kami segera menutup jalan itu apabila tanda-tanda awal mendapan ditemui oleh kakitangan, mengikut prosedur operasi standard kami.

"Saya menafikan semua khabar angin yang mengatakan bahawa kereta telah jatuh ke dalam lubang. Saya menyeru sesiapa yang sedang menyebarkan khabar angin itu untuk menghentikan kelakuan yang tidak bertanggungjawab itu kerana ia boleh membuatkan orang ramai panik," katanya.


Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif untuk mengelakkan kawasan itu.

"Trafik dari Bukit Bintang menuju ke Jalan Tun Razak boleh menghala ke Jalan Imbi di Chulan Square, dan kemudian pusing kiri ke Jalan Inai, kemudian kiri sekali lagi ke Jalan Kampung dan memasuki semula Jalan Bukit Bintang di lampu trafik di mana mereka boleh belok kanan untuk menuju ke Jalan Tun Razak.

"Secara alternatif, pemandu boleh terus ke Jalan Inai dan  seterusnya sampai ke jalan Tun Razak.

"Satu lagi laluan alternatif adalah dengan meneruskan perjalanan di Jalan Imbi dan beralih kiri di jalan masuk SMART Tunnel, dan meneruskan perjalanan ke Bulatan Kampung Pandan di mana mereka boleh pergi ke Jalan Tun Razak."

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan