 
 Pemain Malaysia, Badrol Bahtiar (kanan) melepasi kawalan pemain Taiwan,  Lo Chi En dalam perlawanan 
Kelayakan Piala Dunia 2012 peringkat Asia di  stadium Nasional Bukit Jalil.
  
Assalamualaikum...
Malaysia memenangi perlawanan pertama, pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di  Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi menewaskan China Taipei a.k.a Taiwan dengan jaringan 2 berbalas 1.  
Malaysia bermula agresif mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-28 menerusi kapten pasukan, Safiq  Rahim yang berpunca daripada gerakan Abdul Hadi Yahya sejurus selepas masuk  menggantikan Helmi Remeli.  Hadi tidak menunggu lama memecah bentang pertahanan dari sisi kanan  sebelum melorong bola kepada S Kunanlan dan umpanan pemain tengah itu  mudah disempurnakan Safiq yang merembat kencang menewaskan penjaga gol  Taiwan, Lin Po-Cheng.
Pada minit ke-55, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak yang kembali menyarung jersi kebangsaan pada kali ini  selepas pulih daripada kecederaan, menceriakan lebih 45,000 penyokong  tuan rumah apabila menanduk masuk gol kedua yang bermula daripada  sepakan sudut Safiq Rahim.  Pada ketika ini para pemain Taiwan sebenarnya sudah nampak goyah dan kurang motivasi akibat dua gol ketinggalan, namun jurulatih Taiwan Lo Chih Tsung mula membuat percaturan baru dengan menukarkan beberapa pemain bagi cubaan merapatkan jurang jaringan tersebut.  
Usaha Taiwan tampak berhasil dengan gerakan pantas jentera serangan Taiwan yang melakukan asakan dari  sebelah kanan "pintu gol" dan pemain tengah, Chen Po-Liang mudah menewaskan  penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee pada minit ke-76.
Berdasarkan pengamatan saya, Taiwan memberi tentangan sengit pada 20 minit pertama separuh masa pertama dengan menyayingi baik setiap gerakan yang dilakukan oleh skuad "Harimau Malaya".  Malaysia yang masih dilihat mengalami sindrom "lambat panas" hanya mampu membelah pertahanan Taiwan apabila perlawanan menghampiri 30 minit.
Sekurang-kurangnya Malaysia mampu mencipta jaringan 4 gol ke atas Taiwan, namun setelah mendapat gol kedua, Malaysia dilihat "melonggarkan" kawalan permainan dan ini dapat dilihat dengan jelas pada pada 15 minit terakhir perlawanan, kawasan pertahanan Malaysia agak terkehadapan dan membiarkan banyak ruang di belakang mereka ketika pemain Taiwan mengambil kesempatan menjaringkan gol pertama.
Ketua jurulatih, K.Rajagobal nampaknya "menyimpan kuku" bagi skuad Harimau Malaya dengan meletakkan beberapa "key player" di bangku simpanan.  Semoga segala taktik yang direncana oleh saf jurulatih pasukan Malaysia akan sekali lagi berkesan dalam menghadapi perlawanan ke dua pada 3 Julai 2011 (Ahad) di Taiwan.









 
 
 

 
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

