Lapan belas ekor buaya terlepas dari kandang 
apabila sebuah zoo di Permatang Siantar, Sumatera Utara dilanda banjir 
akibat hujan lebat yang turun seharian.
 Dalam kejadian malam kelmarin, kesemua buaya terbabit "bebas" keluar 
dari kandang apabila air yang naik setinggi tiga meter di Taman Haiwan 
Permatang Siantar (THPS) itu melepasi pagar kandang.
 Media-media dalam talian memetik Pengurus Besar THPS, Nandang Suaida 
sebagai berkata, hujan lebat mengakibatkan seluruh kawasan zoo itu 
ditenggelami air sehingga hanya ternampak bahagian atas bangunan sahaja.
 Katanya, para petugas zoo ternampak buaya-buaya itu berenang mencari 
tempat perlindungan dan segera menangkap beberapa ekor haiwan terbabit.
 Beliau berkata, pihaknya juga meminta bantuan polis untuk mencari dan 
menemui semula kesemua 18 ekor buaya itu termasuk lapan ekor yang berada
 di rumah orang awam dan juga di luar kawasan zoo.
 "Alhamdulillah sudah tertangkap semuanya kira-kira pukul 11.48 tengah 
malam tadi," katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita Antara di 
sini, hari ini.
 Nandang berkata, keadaan banjir surut pagi tadi dan pihaknya sedang 
menyemak data jumlah binatang dalam zoo berkenaan. 
Sumber :
- Bernama
- Sinar Harian









 
 
 

 
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

