Sejarah penubuhan Pasaraya Borong Sakan



Nama SAKAN adalah ilham pemiliknya Dato' Haji Che Umar Bin Haji Yatim sempena nama tempat kelahiran beliau di Kampung Sakan, Jalan Dato’ Kumbar, Alor Setar Kedah. Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd. yang sebelum ini dikenali dengan nama Syarikat Sri Sakan telah beroperasi secara aktif pada tahun 1980 dan ditubuhkan secara rasmi pada April 1982.

Perniagaan ini dimulakan dengan modal hanya RM200.00. Dato' Hj. Che Umar yang ketika itu bertugas sebagai Pengurus Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) telah melantik isterinya, Datin Resnah Husin sebagai Pengurus syarikat. Perniagaan bermula dengan menerima pesanan dan menjual kepada kenalan sahaja. Pada tahun 1982, Syarikat Sri Sakan telah maju setapak lagi sebagai pemborong pakaian kepada peniaga-peniaga kecil, pasar malam, kedai-kedai pakaian, pasaraya ekonomi dan rangkaian Supermarket Berkat, Fajar dan Billion. Pada waktu itu, barang-barang yang dipasarkan merupakan produk keluaran Thailand.

Dengan penuh keyakinan bahawa perniagaan yang diceburi mempunyai potensi besar dan mempunyai peluang yang cerah, maka Dato' Hj. Che Umar mengambil keputusan untuk bersara lebih awal pada tahun 1998 dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Walaupun dalam kemerosotan ekonomi pada waktu itu, beliau tetap yakin dan berusaha. Hasilnya amat membanggakan.

Pada tahun 2000, dengan dibantu oleh tiga (3) orang anaknya yang baru tamat pengajian dalam Ijazah Perakaunan dan Kewangan dari Kingston Universiti of London, Ijazah Ukur Bangunan dari Universiti Malaya dan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Ungku Omar, maka pada Jun 2001 tertubuhlah Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd. sehinggalah mempunyai 81 cawangan pada hari ini (2012). Kesemua saham syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Dato' Hj. Che Umar, isteri serta anak-anaknya.

Tiga faktor yang membantu SAKAN bertahan dan berkembang ialah:

-Pengetahuan dan pengalaman Pengarah urusan; Dato' Hj. Che Umar Hj.Yatim selama lebih 20 tahun dalam bidang ini sebagai pemborong sebelum terlibat dalam aktiviti peruncitan. Ini termasuk keupayaan mengharungi dua (2) kegawatan ekonomi (tahun 1983 dan 1997) dengan baik malah semakin berkembang.

-Ketegasan dan sikap berhati-hati yang dibawa oleh Dato' Hj. Che Umar dalam membentuk anak-anaknya, menjadikan perniagaan seperti yang ada pada hari ini.

 -Budaya kerja yang diamalkan.


LATAR BELAKANG PERNIAGAAN

Pasaraya Borong Sakan Sdn.Bhd menjalankan aktiviti perniagaan berupakan keperluan hidup manusia pakaian, tempat tinggal dan makanan secara runcit dan borong. SAKAN menyediakan pakaian untuk semua peringkat umur termasuk lelaki, wanita, remaja, kanak-kanak dan bayi dalam pelbagai jenis, corak, kualiti dengan harga yang rendah.

Sejak ditubuhkan di Kuala Kangsar pada tahun 2001, PBSSB telah berkembang dengan begitu pesat dan kini terdapat 80 buah cawangan di seluruh negeri di Malaysia. Anak-anak Dato' Haji Che Umar Bin Haji Yatim iaitu Puan Rosmariza Binti Dato' Hj. Che Umar, En. Hairil Amri Bin Dato' Hj. Che Umar dan Puan Rosmarina Binti Dato' Hj Che Umar merupakan tulang belakang pembangunan syarikat yang sentiasa memastikan kelancaran urusan perniagaan syarikat ini.

SAKAN memiliki  kelebihannya  tersendiri dan mempunyai daya saing yang kuat  untuk terus lebih maju ke hadapan. Kelebihan yang ada pada SAKAN membolehkan memenuhi falsafah perniagaannya dalam menjual barangan pada harga borong kepada para pelanggannya. China, Thailand, Indonesia adalah negara asing yang menjadi punca barangan diperolehi  selain daripada negeri-negeri dalam Malaysia.

Keperluan hidup manusia (pakaian, tempat tinggal dan makanan) adalah fokus barangan jualan SAKAN. SAKAN menyediakan pakaian untuk semua peringkat umur termasuk lelaki, wanita, remaja, kanak-kanak dan bayi dalam berbagai jenis, corak, kualiti dengan harga rendah. Dewasa ini masyarakat lebih berhati-hati,  prihatin dan mempunyai informasi yang luas terhadap harga barang keperluan dan di mana untuk membeli.

Berdasarkan komen yang kami terima, pelanggan yang 95% terdiri dari masyarakat Islam mahu berbelanja di kedai-kedai dan pasaraya milik bumiputera, tetapi memandangkan jumlahnya amat kecil dan kebanyakannya tidak mampu bersaing  maka keinginan itu terkubur. Oleh itu, SAKAN yang mampu bersaing dari segi harga dan kepelbagaian barang, mendapat tempat di pasaran di samping dapat menunaikan fardhu kifayah. Kami mahu pelanggan merasakan bahawa membeli belah di SAKAN bukan hanya dapat berjimat dengan harga borong yang ditawarkan malah mendapat layanan yang memuaskan.

Menyedari hakikat di pasaran kini, maka kami telah merancang untuk  memperluaskan cawangan yang sedia ada ke beberapa tempat yang telah dikenal pasti. Keyakinan serta kesungguhan pihak pengurusan dan semua kakitangan syarikat memberi keyakinan untuk mencapai matlamat syarikat di masa hadapan.


PERHATIAN
**p/s :

- Jika ada yang meragui kualiti barangan yang dijual, maka sepatutnya andai sendiri boleh menilai sebelum membelinya. Sama seperti kes Pasaraya Mydin semasa awal penubuhannya, kualiti barangan yang dijual di Mydin diragui kerana dikatakan kebanyakkan barangan diimport dari negara China.

-Barangan yang dijual murah berpadanan dengan ketahanan dan kualitinya, sesuai untuk rakyat yang berpendapatan miskin dan sederhana ataupun yang ingin berjimat-cermat.

-Mana-mana barang yang pakai tak "lasak", dibeli dengan harga mahal atau murah, ia akan bertahan lama.

-Jika inginkan yang kualiti tinggi... (tinggilah sangat...), pergilah ke pasaraya seperti Sogo ataupun kedai-kedai swasta di Jusco).

Previous Post
Next Post
Related Posts

0 Maklumbalas:

Promosi

Babab.net