Haji Hassan Bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut) : penentang penjajahan British


Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada ialah seorang penentang penjajahan British yang terbunuh semasa menentang campur tangan dalam hal agama Islam serta pengenaan cukai oleh pihak British ketika perang Tok Janggut di KelantanTanah Melayu. Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.

Tok Janggut mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Tok Janggut dikatakan ada pertalian dengan Sultan Muhammad IV dimana bonda baginda diriwayatkan adalah adik beradik ayah atau ibu Tok Janggut. Ada riwayat mennyatakan bahawa beliau adalah anak murid Tok Ku Paloh. Selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909, pihak British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran.  Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff, menggantikan Engku Besar. Engku Besar ialah cucu kepada Tengku Sri Maharaja Long Seri Ibni Long Gafar Limbat yang memperoleh kuasa mentadbir kawasan timur Kelantan secara turun temurun. Keadaan bertambah buruk apabila Encik Latiff, pegawai pentadbiran British yang berasal daripada luar Kelantan menjalankan tugasnya dengan tegas, khususnya dalam hal pengutipan cukai. Semua orang termasuk Sultan dan pembesar diwajibkan membayar cukai tanah. Dikatakan Sultan Kelantan mempunyai 3000 ekar tanah dan para pembesarnya mempunyai sekurang-kurangnya beratus-ratus ekar tanah. Keadaan ini juga tidak menyenangkan Sultan.

Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Pegawai Daerah kemudiannya lari ke Kota Bharu dan melaporkan kepada sultan bahawa Tok Janggut ingin memberontak dan merampas kuasa.

Tok Janggut kemudian menghimpunkan pengikut-pengikutnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Pengikut Tok Janggut kemudiannya mendirikan sebuah kerajaan didirikan di Pasir Puteh dengan Engku Besar Jeram sebagai Raja, Tok Janggut sebagai Perdana Menteri, dan Che Ishak sebagai Pegawai Daerah.

Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Ini ditambah lagi oleh peristiwa abang Tok Janggut telah dibunuh oleh budak raja oleh sultan sebelumnya menambah kebimbangan sultan mengenai kebenaran dakwaan British. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan. Pihak perisikan Inggeris mengesyaki bahawa terdapat kerabat diraja dan orang besar Kelantan dalam membantu pemberontakan Tok Janggut. Antaranya ialah Tengku Chik Penambang (Tengku Panglima Raja) dan Tengku Abdul Ja'far Ibni Sultan Muhammad II (Tengku Petra Dalam Kebun) Tengku Abdul Ja'far sebelumnya memakai gelaran Tengku Temenggong Kelantan dan melarikan diri ke Pattani apabila dinafikan hak menaiki takhta Kelantan.

Perjuagan Tok Janggut ini juga sebenarnya adalah datangnya dari semangat pahlawan-pahlawan Pahang iaitu Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman serta pengikut-pengikutnya. Ke semua pejuang-pejuang Pahang ini bersembunyi ke Terengganu, Kelantan dan Siam apabila pada ketika itu British telah mempengaruhi Kerajaan Pahang agar memusuhi mereka. Kerana tidak mahu bertempur dengan bangsa sendiri dan tidak mahu menderhaka kepada Sultan, akhirnya mereka melarikan diri ke Terengganu, Kelantan dan seterusnya Siam.
 


*Apa yang berlaku pada hari ini ialah sejarah keagungan dan kepahlawanan Melayu seperti ini seakan cuba dilenyapkan oleh pihak-pihak tertentu sebaliknya lebih mengagungkan individu atau perkumpulan yang dibentuk dari acuan penjajah Inggeris.

**Walaupun kita harus bersyukur dengan "kemerdekaan" kosmetik ini, namun tidaklah boleh dibanggakan sangat kerana ianya hanya diperolehi setelah kita dipaksa memenuhi syarat yang pihak penjajah tetapkan dan "orang kita" datang "menyembah" kepada ketua mereka untuk mengemis kemerdekaan yang sebenarnya telah ditanam "bom masa" oleh penjajah Inggeris @ kristian.
Previous Post
Next Post
Related Posts

Promosi

Babab.net