Doraemon : Mengenali dan mengenang sejarah sebuah kartun lagenda

 
Watak-watak utama dalam siri animasi Doraemon 
(Doraemon, Shizuka, Nobita, Giant dan Suneo)


Assalamualaikum.....

Saya pertama kali mula mengenali kartun bersiri Doraemon dalam sekitar akhir tahun 1980-an.  Semasa itu ia disiarkan di TV1 dan sehingga ke hari ini, beberapa stesyen televisyen lain selain milik RTM juga pernah menyiarkannya.  Maka dengan itu kedengaranlah beberapa versi alih suara bagi watak-watak dalam siri kartun tersebut.  Bagi saya Doraemon merupakan salah satu cerita kartun fantasi yang amat "evergreen" dan menyimpan kenangan.

Saya juga turut membeli komik Doraemon dan komik ini sebenarnya memainkan peranan dalam perkembangan fikiran saya sewaktu kanak-kanak kerana jalan ceritanya merangsang fikiran saya untuk "mencipta sesuatu" dan membayangkan situasi kehidupan manusia di masa akan datang (zaman segalanya canggih).  Pendek cerita-cerita Doraemon memberi sumber inspirasi pada zaman kanak-kanak saya.

Berikut merupakan penerangan mengenai siri animasi Doraemon yang saya rujuk dari ensiklopedia bebas :

Doraemon (ドラえもん) adalah sebuah manga Jepun popular yang dikarang oleh Fujiko F. Fujio (藤子·F·不二雄) (nama asal Hiroshi Fujimoto) sejak tahun 1970 dan berkisah tentang sebuah robot berbentuk kucing yang datang dari abad ke-22, Doraemon.

Dia dihantar ke zaman sekarang (tahun 1970-an ketika itu) oleh Sewashi iaitu salah seorang keturunan Nobita pada tahun 2112 untuk menolong Nobita, seorang budak yang pemalas, agar keturunan Nobita dapat menikmati kejayaannya daripada terus menderita dari segi kewangan - yang bakal terjadi di masa depan - yang telah diakibatkan oleh kejahilan Nobita.

Cerita Doraemon julung kalinya muncul pada Januari 1970 dan diterbitkan dalam enam majalah yang berlainan secara serentak. Sejumlah 1,344 cerita asal telah direka selama ini, yang diterbit oleh syarikat Shogakukan di bawah jenama komik Tentōmushi (てんとう虫) (ladybird/kumbang kura-kura) yang menjangkau 45 jilid. Cerita-cerita tersebut dikumpul dan disimpan dalam Perpustakaan Pusat Takaoka di bandar Toyama, Jepun, yang merupakan tempat kelahiran Fujiko.

Doraemon pernah dianugerahkan hadiah utama Anugerah Kebudayaan Tezuka Osamu (手塚治虫文化賞) pada tahun 1997.

Setelah lama wujud di dunia komik dan animasi, Doraemon merupakan salah satu watak animasi yang popular bukan sahaja di Jepun dan Malaysia, bahkan juga di negara-negara Asia dan Eropah.
Previous Post
Next Post
Related Posts

Promosi

Babab.net