Destinasi Pelancongan : Jom kenali Muzium Padi di Kedah


Assalamualaikum.....

Saya sudah beberapa kali melancong ke Negeri Kedah dan setiap kali saya pergi, saya lihat ia menjadi negeri yang semakin berkembang pesat dengan kemajuan yang seimbang, langsung tidak sama dengan apa yang diburuk-burukan dalam siaran berita arus perdana.

Kali terakhir saya pergi ke negeri Kedah dalam akhir tahun 2011 kerana membantu rakan mengendalikan pakej pelancongan dari Melaka. Antara kawasan yang disinggah dalam trip pelancongan itu saya pergi ke Gunung Mat Cincang untuk menaiki kereta kabel dan merentasi jambatan gantung yang apabila kita berada di atasnya seolah-olah seperti di syurga (seperti yang dikatakan oleh pelancong dari negara luar).

Ok, artikel kali ini saya nak kongsikan cerita mengenai Muzium Padi.  Ada di kalangan generasi hari ini tidak mengetahui dari mana datangnya beras malah apatah lagi mengenali pokoknya. Ada juga yang memanggil padi sebagai "pokok beras".

Muzium padi adalah salah satu tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi.  Lokasinya terletak kira-kira 8 kilometer dari bandar Alor Setar. Ia dibuka dengan rasminya oleh KDYMM Tunku Sultan Haji Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Negeri Kedah pada 12 Oktober 2004, bersamaan 27 Syaaban 1425 hijrah.

Muzium ini adalah satu-satunya muzium padi di Malaysia. Ia mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi.

Muzium ini berkeluasan 12,000 meter persegi dan mempunyai tiga aras. Di aras 1 dipamerkan sejarah penanaman padi, variati-variati padi, alat persawahan tradisional seperti anok, renggam dan lain-lain. Selain itu alat menangkap ikan tradisional yang hampir pupus seperti sepila, tuar, bubu dan lain-lain juga dipamerkan di aras ini.

Di aras 2 pula ada 6 galeri. Di galeri ini kita boleh melihat lukisan-lukisan yang menggambarkan aktiviti pertanian bermula dari zaman penjajahan hingga sekarang. Di aras ini juga kita dapat menonton dokumentari mengenai kaedah penanaman padi yang ada ditayangkan di sini setiap hari.

Yang paling menarik dan unik di Muzium padi ini ialah apabila berada di aras 3. Di sini kita dapat melihat panorama tanaman padi dalam bentuk mural dan lanskap. Mural yang berketinggian 8 meter dan 103 meter panjang ini adalah salah satu mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia. Di aras ini ada ruang pemerhati terletak di atas platform berputar.

Setelah puas melawat ke semua galeri, pasti inginkan sesuatu untuk dijadikan kenangan atau buah tangan selepas pulang. Kedai cenderamata ada menjual barangan seperti baju "T", alat tulis, dan kraftangan. Disarankan juga agar anda mencuba makanan tradisional seperti sagon, karas dan lain-lain kerana makanan-makanan ini semakin jarang didapati. Semua makanan ini dihasilkan oleh anak-anak negeri Kedah sendiri dengan harga yang berpatutan.

Muzium Padi semamangnya lokasi pelancongan yang menarik. Selain daripada boleh menambahkan pengetahuan mengenai sejarah penanaman padi, kita juga boleh melihat bahan-bahan dan peralatan pertaniah yang semakin pupus.

Waktu Lawatan :

Dibuka pada hari -

Sabtu - Khamis : 
9:00 pagi - 5:00 petang

Jumaat :
9:00 Pagi - 12:30 tengahari
2:30 Petang - 5:00 petang

Bayaran Masuk:
Dewasa : 
RM 3.00 ( seorang )

Kanak-kanak :
RM 1.00 ( seorang )
(7 - 12 tahun )

Rombongan sekolah : 
RM 1.00 ( seorang )

Kamera : 
RM 2.00 ( sebuah )

Maklumat lanjut:

Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman
Lebuhraya Daru Aman, Bakar Bata,
05100 Alor Star,Kedah Darul Aman.

Nombor telefon :

Muzium Negeri Kedah : 04-733 1162 Fax : 04-730 5100
Muzium Padi : 04-735 1315
Email: muziumkd@tm.net.my
 
Previous Post
Next Post
Related Posts

Promosi

Babab.net