Satu sudah selesai, menanti yang lain pula

Pagi tadi dalam pukul 11 lebih syarikat AWADA, iaitu syarikat penyedia alat pemadam api telah menghantar pesanan saya bagi alat pemadam api khas untuk perniagaan berkaitan komputer yang berharga RM165.00. Walaupun ia dihantar lambat dari tarikh dan masa yang sepatutnya, namun saya tetap rasa gembira kerana telah selesai salah satu perkara yang perlu diselesaikan.

Ketika ini menanti pula bekalan elektrik, sambungan talian telefon dan permohonan lesen dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Satu lagi pengalaman GAGAL yang amat menggembirakan

Assalamualaikum..., salam sejahtera....,

Sebelum ini penulis telah banyak mengalami peristiwa kegagalan, sama ada berskala besar atau kecil. Namun peristiwa yang terbaru ini, mempunyai ironinya yang tersendiri.

Melalui syarikat milik penulis iaitu ICT Niaga Enterprise, penulis telah mendapat tempahan Unit Pemprosesan Pusat ( CPU ) dari GIATMARA KOTA MELAKA. L.O yang penulis terima tersebut bertarikh 10/03/2008, namun pada 02/06/2008 apabila penulis menghadiri mesyuarat Kelab Usahawan GIATMARA Melaka di GIATMARA KOTA MELAKA, seorang "pekerja" di tempat tersebut memberitahu pada penulis bahawa tempahan itu dibatalkan atas alasan "valid time" untuk L.O tersebut melebihi 3 bulan, sedangkan mengikut perkiraan penulis, masih ada lagi masa beberapa hari untuk penulis mengumpul modal untuk mengambil barang dari pembekal. Nampaknya mereka telah membatalkan lebih awal dari tarikh "valid time" 3 bulan.

Macam cerita dongeng, penulis yang merupakan penuntut lepasan GIATMARA KOTA MELAKA sendiri tidak mendapat simpati serta sokongan untuk menjayakan urusniaga ini. Sebenarnya mereka boleh mendahulukan cek bayaran pesanan / tempahan tersebut kepada penulis ataupun melanjutkan lagi tarikh 3 bulan itu, kerana penulis telah bersusah-payah membuat projek & ambil upah yang kecil nilainya, buat pinjam atas pinjam, namun masih tak cukup modal lagi RM1690.00.

Bukannya penulis tidak berusaha untuk selesaikan masalah kekurangan modal. Segalanya telah penulis cuba. Dengan pihak TEKUN pula, masa yang diambil untuk menilai permohonan pinjaman lama sangat, iaitu selama 45 hari. Itu belum tentu dapat atau tak. Cuma penulis belum lagi berjumpa & buat pinjaman dari "Ah Long" atau "Ah Ngah". Ada juga bekas pengajar GIATMARA tersebut, "marah" kepada penulis sebab kononnya kerana dialah penulis telah mendapat "projek" dari GIATMARA KOTA MELAKA, tetapi penulis pula yang tidak dapat menyelesaikannya. Dia bertanya kepada penulis, adakah penulis telah jajakan surat L.O itu kepada bank...

Cuba pembaca fikirkan, bank mana yang nak luluskan projek kecil yang bernilai lingkungan RM4 ribu...? Jawapan pada penulis..: "TAK ADA LANGSUNG!!!". Pihak bank akan pandang pada projek bernilai puluhan ribu ringgit dan ke atas sahaja. Dahlah dahulu pengajar itu telah menolak kepala penulis dengan jarinya, tapi sampai sekarang tidak minta maafpun... (menunjal kepada orang lain dengan jari atau dengan apa saja adalah satu perbuatan kurang ajar). "Pekerja" yang memberitahu tentang pembatalan tempahan itu telah menggunakan intonasi suara, gaya bahasa dan mimik muka yang boleh menyakitkan hati orang lain, orang yang tak ada perasaan sahaja yang tak rasa apa-apa, penulis faham maksud tersirat, cuma penulis malas nak cakap banyak dengan "kaki Blue" itu.

Namun ironinya, penulis juga berterima kasih yang teramat sangat pada pihak berkenaan kerana menghadiahkan pengalaman kegagalan ini pada penulis. Sebabnya kita hanya dapat belajar dengan lebih banyak dari KEGAGALAN, berbanding dengan kejayaan sahaja...

~p/s : tak merajuk cuma hati terguris sikit...

Perkembangan ICT Niaga Enterprise

Assalamualaikum...

Di sini penulis ingin memaklumkan bahawa syarikat milik penulis iaitu ICT Niaga Enterprise, telah mendapat tawaran penyewaan premis di 1.3B Tingkat 1, Kompleks Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, Melaka.

Pada hari ini, dalam pukul 3.00 petang penulis telah membuat bayaran deposit sewa premis di pejabat MARA Tingkat 5, Plaza Usahawan. Tetapi penulis belum tahu lagi tarikh sebenar perniagaan akan dimulakan di tempat tersebut, namun penulis menjangkakan ia akan beroperasi dalam bulan ini juga.

Oleh itu penulis berharap agar rakan-rakan semula akan memberi sokongan kepada penulis dengan menggunakan perkhidmatan dari syarikat penulis ini dan jika "ringan mulut", penulis memohon jasabaik rakan-rakan serta pembaca semua yang tinggal berhampiran dengan premis ICT Niaga Enterprise, tidak kira sama ada di Kampung Tanjung Rimau Dalam mahupun di Kompleks Hang Tuah agar menghebahkan perkhidmatan komputer syarikat milik penulis ini.

Doakan penulis berjaya dengan perniagaan di tempat baru dan lama ini, agar kejayaan penulis ini dapat menyumbang beberapa peratusan pada hasrat kerajaan agar orang Melayu memiliki penguasaan ekonomi Malaysia sebanyak 30%.

Memang Melayu Mudah Lupa (bahagian 2)

Penulis ingin menyambung artikel ini setelah sekian lama tidak menulis di blog...

Terdapat banyak kisah yang seumpama dengan tajuk artikel di atas dalam kehidupan kita. Mudah lupa pada jasa serta kebaikkan yang dibuat oleh seseorang seperti peribahasa "kacang lupakan kulit" ini bukan hanya berlaku pada bangsa Melayu sahaja malah bangsa-bangsa lain di Malaysia juga menghadapi keadaan yang sama, tetapi masalah mereka tidak ketara dan serius seperti yang dialami oleh bangsa Melayu.

Kisah yang ingin penulis sampaikan ini berlaku pada diri penulis ketika menyambung pelajaran di Institut Teknologi Tun Abdul Razak ( ITTAR ), Kuala Lumpur. Ada kebenarannya pada ayat berikut iaitu "BUAT BAIK BERPADA-PADA". Kelemahan penulis ialah terlalu setia dan baik hati dalam persahabatan. Penulis akan merasakan "panas hati" apabila ada kawan yang kononnya baik dengan penulis dikutuk, dikritik atau diperlakukan apa-apa yang tidak baik pada mereka.

Apabila ada kawan penulis yang memerlukan wang, sama ada untuk sara hidup, belanja untuk membuat tugasan atau lain-lain, penulis akan berusaha membantu mereka sedaya yang boleh. Ada dua kisah antara kisah-kisah yang ingin penulis kisahkan kepada para pembaca...:

Kisah 1 ) Salah seorang "kawan" penulis pernah meminta bantuan daripada penulis supaya membeli tiket tempahan tempat untuk majlis makan malam amal yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar ITTAR PJ, yang mana kekasihnya terlibat dalam penganjuran tersebut. Oleh kerana kawan penulis pun tiada wang ketika itu, maka kawan penulis itu merayu supaya penulis membeli tiket makan malam amal untuknya. Tidak perlulah penulis memberitahu berapa nilai "Ringgit Malaysia" yang telah penulis keluarkan untuk membeli dua tiket makan malam tersebut kerana apa yang penulis ingin tegaskan di sini ialah "ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA". Ketika itu penulis tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya, tetapi apabila penulis mengenangkan dia adalah "kawan baik", maka penulis bersusah-payah mencari wang untuk tujuan tersebut. Selain dari peristiwa ini, banyak lagi peristiwa yang berlaku antara penulis dengannya.

Setelah beberapa lama selepas itu, apabila penulis pula yang kesempitan wang dan meminta pertolongan daripadanya, pelbagai alasan yang diberikan. Pernah juga penulis "bergaduh besar" dengannya yang berlanjutan disebabkan wang, maka diapun mengungkit-ungkit jasa-jasa yang telah dia lakukan pada penulis dan yang paling menyakitkan hati ialah dia mengatakan yang dia menyesal berkawan dengan penulis kerana membazirkan masanya serta menganggap penulis sudah mati dan tidak pernah kenal dengan penulis. Penulis sendiri tidak ingat berapa lama masa selepas dia memutuskan persahabatan itu, penulis telah cuba berbuat baik dan ingin bersahabat semula dengannya. Walaupun sukar untuk melupakan segala kata-katanya, penulis tetap bersahabat dengannya.

Ketika ini kawan tersebut telah mempunyai kerja tetap yang mempunyai pendapatan yang boleh membuatkannya hidup selesa. Penulis pernah menghantar sms padanya dalam tahun ini kerana memerlukan bantuan kewangan darinya. Penulis hanya meminta RM100.00 ataupun RM50.00 darinya sebagai belanja untuk penulis bergerak membuat promosi bisnes dan duit tambang bas. Penulis menyatakan kepadanya jika dia tidak menganggap permintaan penulis itu sebagai sedekah, maka anggaplah itu sebagai pinjaman. Tetapi dia hanya menyepikan diri, sedangkan sebelum itu kawan penulis tersebut ada menelefon dan berbalas sms dengan penulis. Walaupun penulis ketika ini mempunyai bisnes perkhidmatan komputer, tetapi ia belum mencapai tahap yang memuaskan kerana penulis menjalankan bisnes di rumah, belum berkemampuan untuk menyewa kedai di kawasan yang lebih komersil.

Beberapa minggu selepas sms dihantar kepadanya, kawan penulis tersebut ada menelefon penulis, bertanyakan khabar tetapi tidak sedikitpun berkata mengenai sms tersebut dari penulis kepadanya. Penulis semestinya tidak akan cuba bertanyakan kepadanya kerana penulis juga ada maruah yang perlu dijaga. Sekian lama penulis beralah dan merendahkan diri mengemis simpati, namun kesusahan diri penulis tidak dipedulikan. Persoalan dari penulis kepada para pembaca yang budiman, adakah benar-benar Melayu memang mudah lupa...?

Bersambung...

Memang Melayu Mudah Lupa (bahagian 1)

Assalamualaikum dan salam usahawan...

Melihatkan tajuk di atas (Memang betul, Melayu mudah lupa ), saya terpaksa menerima dengan berat hati hakikat sebenar sikap orang Melayu.... Penulis sendiri telah acap kali mengalaminya dan kini sedang mengalaminya.

Jika dibaca pada artikel penulis yang lepas dalam tahun 2007, pasti pembaca tahu di mana tempatnya penulis bekerja sementara untuk meninjau peluang pemasaran bagi perniagaan penulis (bidang pengkomputeran). Cukuplah penulis hanya memberitahu bahawa ada usahawan Melayu yang bersikap kedekut dan mudah lupa. Penulis sanggup terima tawaran gaji yang kecil, tiada KWSP,PERKESO,SOCSO atau lain-lain hak yang diperlukan oleh pekerja serta penulis banyak membawa pembaharuan kepada kedai tempat penulis bekerja sekarang ( termasuk menambah kecekapan operasi dan membawa masuk sistem pengiraan harga servis berkomputer ).

Penulis tak berkira sangat sebab kedai ini adalah milik orang Melayu. Tetapi bila penulis "menumpang" sedikit ruang untuk menjalankan perniagaan penulis, pemilik kedai serta anaknya sudah "bising". Pada pendapat penulis, apa yang penulis lakukan ini tidak menjejaskan perniagaan mereka kerana mereka menjalankan perniagaan "stationaries", jauh berbeza dengan perkhidmatan servis komputer dari penulis. Penulis membawa pulang CPU atau laptop ke rumah untuk diselenggarakan, bukannya dibuat di kedai ini, kecuali bila terpaksa menggunakan internet.

Kesimpulannya sebilangan usahawan Melayu tidak "membuka mata dan minda" tentang kebaikkan untuk jangkamasa panjang bagi orang seperti penulis ini berada disamping mereka. Penulis sudah banyak berkorban tetapi mereka berkira sangat dengan penulis...

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan