Penghuni beragama Islam yang berjaga menunggu sahur antara jam 1 hingga 2 pagi menyelamatkan banyak nyawa dalam kebakaran Menara Grenfell kerana mereka yang menyedari kebakaran itu, mengejutkan jiran supaya menyelamatkan diri.
Mereka terhidu asap apabila kebakaran bermula kira-kira 1 pagi dan ketika berlari keluar menyelamatkan diri, mengetuk pintu rumah jiran memberitahu bahaya mendatang kerana penggera kebakaran dan penyiram air tidak berfungsi.
Antaranya, Khalid Suleman Ahmed, 20, yang tinggal di tingkat lapan berkata, dia bermain PS4 sambil menunggu sahur. Fajar di London ialah kira-kira 2.40 pagi.
"Saya terhidu asap tapi loceng kebakaran tidak berbunyi".
“Saya melihat melalui tingkap dan nampak asap dari tingkat tujuh lalu mengejutkan ibu saudara. Kami segera keluar dan mengetuk pintu rumah jiran,” katanya.
Menurut Daily Mail, seorang lagi penduduk, Nadia Yousuf, 29, berkata penghuni Islam antara yang pertama memberi amaran kepada penghuni lain mengenai kebakaran itu kerana menyedari kejadian ketika bangun untuk bersahur.
Kini, pelbagai pertubuhan, termasuk pusat Islam dan masjid, gereja serta kuil Sikh menyediakan bantuan dengan membuka rumah ibadat masing-masing sebagai tempat perlindungan kepada mangsa.
|
Masjid Al-Manaar menawarkan bantuan kepada mangsa dan gambar kanan, sukarelawan masjid itu mengumpul barangan keperluan yang disumbangkan orang ramai untuk diberi kepada mangsa |
Masjid Al-Manaar berhampiran menawarkan perlindungan kepada semua mangsa tanpa mengira agama untuk tinggal di masjid itu.
Melalui Facebook, pengurusan masjid itu menyatakan: “Masjid dan Pusat Al-Manaar dibuka sebagai perlindungan sementara untuk mereka yang menjadi mangsa kebakaran Menara Grenfell Tower.
“Mangsa tanpa mengira agama dialu-alukan untuk berlindung, berehat, tidur, makan dan minum.
“Sukarelawan dan kakitangan Al-Manaar akan menghantar air, kurma dan keperluan lain kepada mangsa. Doa kami bersama anda ketika musibah ini.”
Gereja St Clement dan St James serta satu kuil Sikh juga menawarkan perlindungan kepada semua mangsa.
Seorang wanita tempatan berkata: "Jika bukan kerana remaja Islam sekitar sini dan yang datang dari masjid mungkin lebih ramai akan mati".
“Mereka yang pertama tiba membawa air dan membantu orang ramai.”
Andre Barroso, 33, memberitahu Independent: “Penduduk Islam bertanggungjawab mengejutkan penghuni lain keluar segera dari bangunan.
“Saya nampak penduduk Islam di mana-mana. Mereka juga menyediakan makanan dan pakaian.”
Sumber : Mymetro