Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi Sabtu (5 Julai 2014) di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru. Jenazah akan dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada selepas solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.
Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar. Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada Selasa. Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu. Kak Pah dimasukkan ke hospital oleh anaknya, Aliff Omar susulan kesukaran bernafas awal pagi Isnin.
Biodata dalam bidang seni.
Sharifah Aini anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor
Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai
1953.
Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas
menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga
Malam. Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus
bertahan dengan label itu selama 38 tahun.
Pernah merakamkan 93
buah album termasuk 7 album Inggeris, antara lagu popularnya termasuk
Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di
Awan Biru.
Penyanyi itu juga pernah berkolaborasi dengan
beberapa penyanyi terkenal antaranya Latif Ibrahim, Broery Marantika dan
Sudirman Haji Arshad.
Selain menyanyi, beliau juga merupakan
pelakon filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan
kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal pada tahun lalu.
Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records
sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan
memiliki 135 album.
Sharifah Aini menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006.
Sumber : Astro