Pakatan Rakyat mencadangkan konsep rumah ‘sewa hingga milik’ sebagai
alternatif bagi menyesaikan isu pinjaman perumahan kos rendah yang
dibiayai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga menyarankan kerajaan
tidak mengenakan kadar faedah sekiranya konsep sewaan yang dimasukkan
sebagai bayaran kepada pembelian rumah itu dilaksanakan.
“Sebagai contoh, harga rumah RM35,000 dengan masa bayaran melalui
sewa selama 25 tahun, akan menjadikan bayaran bulanan hanya sekitar
RM117, tidak termasuk kos penyelenggaraan bangunan kerana harga tersebut
sudah dimasukkan nilai rumah tersebut.
“Kerajaan juga tidak perlu meminjam daripada KWSP atau institusi
kewangan lain. Konsep ini akan juga mengurangkan kos pentadbiran kerana
sistem kutipan sewa sedia ada sudah mencukupi.
“Ini adalah konsep semua menang – rakyat senang,” kata Izzah yang
juga Naib Presiden KEADILAN dalam surat terbukanya kepada Menteri
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Raja Nong Chik Raja
Zainal Abidin.
Izzah menjelaskan, kadar faedah 6.5 peratus yang dikenakan ke atas
pinjaman seperti yang diumumkan Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mohd
Amin Nordin, terlalu tinggi.
“Kenapa kadar yang lebih rendah, iaitu 2 peratus dikenakan kepada
pinjaman mudah RM250 juta projek National Feedlot Center (NFC),
melibatkan suami dan keluarga salah seorang Menteri dalam kabinet
Kerajaan Pusat?,” soal beliau.
Dalam pada itu katanya, Pakatan Rakyat menerima cabaran debat yang
dikemukakan Raja Nong Chik, berhubung penggunaan RM1.5 bilion dana KWSP
untuk membiayai skim pinjaman perumahan berkenaan. Namun tajuk debat itu, kata Izzah, hendak lah menjurus kepada pembiayaian terbaik untuk skim itu.