Sejarah pembinaan Jambatan Muar


Jambatan Sultan Ismail merupakan jambatan pertama yang dibina merentangi Sungai Muar yang menghubungkan Bandar Maharani dengan Tanjung Agas.

Cadangan untuk membina jambatan Muar dan Batu Pahat itu telah dimasukkan di dalam Rancangan Malaya Kedua (1961-1966) oleh Jabatan Kerja Raya dan diumumkan oleh Menteri Kerjaraya ketika itu, Tun V.T Sambanthan. 

Pada tahun 1960 kerajaan menerima 25 tender dari 10 firma yang berminat di mana dua daripadanya merupakan syarikat dari Perancis yang berpangkalan di sini. Kerajaan terpaksa menunggu hampir 4 tahun bagi mendapatkan pembiayaan bagi membina jambatan tersebut.

Akhirnya, pada bulan Julai 1964 kerajaan telah mengumumkan dua buah syarikat tempatan iaitu Wing Co. Ltd dan Development Services Ltd telah memenangi tender berjumlah RM5.2 juta bagi kedua-dua buah jambatan Muar & Batu Pahat.


Bagi Jambatan Sultan Ismail Muar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.25 juta bagi kerja-kerja pembinaannya. Kerajaan berjaya mendapatkan pembiayaan pinjaman dari Chase Manhattan Bank. Kerja-kerja pembinaanya telah dimulakan pada penghujung tahun 1965 dan siap sepenuhnya pada awal tahun 1967. Ianya dibina hanya 1.5 kilometer dari Tangga Batu iaitu Terminal Feri Penambang Muar.

Jambatan sepanjang 1,264 kaki (385 meter) dibina dengan keluasan 24 kaki (7 meter) bagi lorong kenderaan, 8 kaki (2 meter) bagi laluan motosikal/basikal, dan 5 kaki bagi lorong pejalan kaki. Ianya boleh menampung bebanan sebanyak 500 tan bagi setiap 100 kaki (30 meter).

Bagi menyiapkan jambatan ini, 4 pontun digunakan untuk membawa pembancuh konkrit, simen, pasir dan kren setinggi 120 dengan lif seberat 50 tan di mana sebanyak 2 buah jeti dibina khusus untuk memuatkan acuan rasuk konkrit.

Jambatan tersebut dibina di atas 48 cerucuk besi khas yang diimport dari Jerman dan diperkuat dengan 82 cerucuk konkrit. Dianggarkan lebih daripada 9,000 meter padu konkrit dan 2100 tan keluli serta tenaga kerja sebanyak 130 orang telah digunakan ketika pembinaan jambatan tersebut.

Dengan pembinaan jambatan ini, pengguna jalan raya dari Johor Bahru ke Melaka ketika itu telah menjimatkan lebih kurang 64 km berbanding melalui jalan Segamat-Tangkak-Jasin.

Untuk menangani kebanjiran lalulintas akibat dari pembinaan jambatan tersebut, 4 buah bulatan (roundabout) telah dibina dengan kos sebanyak RM1 juta iaitu Bulatan Jalan Yahya, Bulatan Jalan Bakri, Bulatan Jalan Sulaiman dan Bulatan Jalan Khalidi.

Jambatan Muar telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada hari Sabtu 16 April 1967 jam 10.30 pagi dan dinamakan secara rasmi sebagai Jambatan Sultan Ismail. 
Sejurus dengan perasmian jambatan tersebut, perkhidmatan feri atau Penambang Muar telah ditamatkan berkuatkuasa tengah malam Jumaat 15 April 1967.


Jambatan Sultan Ismail Muar merupakan jambatan kedua di Malaysia ketika itu yang mempunyai tol selepas Jambatan Yahya Petra di Kelantan. Sebuah plaza tol berharga RM80,000 telah dibina di Tanjung Agas bagi mengutip tol bagi menampung kos pembinaan jambatan tersebut.

Pada mulanya, kerajaan mengumumkan bahawa harga tol yang dikenakan adalah sebanyak RM0.25 bagi motosikal, RM0.75 bagi kereta dan RM1.75 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas.

Selepas pembukaanya harga tol telah dinaikkan kepada RM0.50 bagi motosikal, RM1.50 bagi kereta dan teksi manakala RM3.50 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas. Ini telah mengundang bantahan dari penduduk terutamanya pengusaha bas dan teksi di mana pada mulanya mereka memulaukan penggunaan jambatan tersebut.

Setelah pelbagai bantahan dibuat terutamanya daripada peniaga dan sektor industri, maka mulai 1 Julai 1971, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkan pengurangan tol kepada RM0.50 bagi kereta dan RM1.00 bagi kenderaan berat seperti lori dan bas manakala bagi pengguna motosikal ianya adalah percuma.

Kemudian pada suatu lawatan Allahyarham Tun Abdul Razak ke Muar pada Mei 1975, beliau mengumumkan bahawa tol yang dikenakan bagi Jambatan Sultan Ismail Muar telah dimansuhkan.

Sumber : Muzium Muar

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan