Polis  telah bersedia sepenuhnya untuk mengawal keselamatan dalam dan luar  stadium pada perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki antara  Malaysia dan Indonesia di Bukit Jalil, Ahad ini.
"Kita  telah bersedia sepenuhnya dengan jumlah anggota yang cukup termasuk  anggota tambahan dari daerah lain. Kita mampu untuk mengawal keselamatan  dalam dan luar stadium," kata Ketua Polis Cheras ACP Mohan Singh Tara  Singh kepada Bernama, Jumaat.
Bagaimanapun,  bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar, polis memerlukan  kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan  untuk mengelak perkara yang tidak diingini.
"Anggaplah  ini sebagai satu perlawanan bola sepak berunsurkan sosial dan bukannya  untuk melakukan perkara yang tidak diingini," kata Mohan Singh yang  turut mengingatkan penyokong supaya tidak membawa barang yang dilarang  seperti mercun, botol atau bunga api.
Sekitar 90,000 penyokong Malaysia dan Indonesia dijangka membanjiri stadium itu seawal 5 petang.
Perlawanan pusingan kedua akan berlangsung di Jakarta pada 29 Disember.
~sumber berita dari FAM