Bilangan rakaat dalam solat tarawih : berapakah yang seperlunya?

 

Assalamualaikum....
Tentunya menjadi perbualan di kalangan kita tentang jumlah rakaat untuk solat tarawih yang dibuat di masjid.  Jika sesuatu kawasan itu terdapat beberapa surau atau masjid yang berupaya dan diberi kebenaran menjalankan solat sunat tarawih, ada segelintir yang memilih surau atau masjid yang mempunyai bilangan rakaat yang sedikit, imam mana yang "membawakan" solat berkenaan dengan "laju".  Kebiasaannya jika jemaah yang rata-ratanya terdiri dari golongan warga tua, maka solat sunat tarawih itu akan dikerjakan dalam jumlah rakaat yang minima.  Namun persoalan yang terbit dari kalangan kita ialah berapakah jumlah sebenar rakaat yang patut dibuat dalam solat sunat tarawih ini...

Pada zaman Rasulullah S.A.W., sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah S.A.W. juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.  Sembahyang ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat sembahyang witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat sembahyang witir.

Sembahyang tarawikh boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah r.a. : “Rasulullah S.A.W. tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (Jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.” Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim; “Rasulullah mengerjakannya sebelas rakaat, temasuk di dalamnya sembahyang witir.”

Dalam isu bilangan rakaat yang harus dilakukan dalam solat tarawikh, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, “Rasulullah bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.

Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.  Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, “Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah.  Mereka melaksanakan solat tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.

Di Masjidil Haram di Makkah, sembahyang tarawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca satu juzuk Al-Quran pada setiap kali tarawih dan menamatkan seluruh Al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadhan.

Makan durian di Masjid Kampung Hulu, Melaka

 
Ada tiga jenis durian yang dihidangkan di Masjid Kampung Hulu pada malam hari ke dua Ramadhan.


Assalamualaikum....

Syukur kerana malam ini (02/08/2011) dapat sekali lagi bertarawih di salah satu masjid yang bersejarah di negeri Melaka ini.  Walaupun terletak di kawasan bandar, namun suasana kampung masih terasa dengan senda gurau kasau (kasar) orang-orang Melake...

Pada jamuan makan berdulang selepas solat sunat tarawih ni, kuih muih hampir sama dengan malam-malam sebelumnya, air asli jus tembikai berserta isi-isi tembikai masih menjadi hidangan utama.  Putu mayam bersama kari daging kambing juga menjadi menu untuk "diselesaikan".  

Dan pada kali ini, raja buah Malaysia iaitu durian dihidangkan kepada para jemaah.  Ada tiga jenis durian yang dihidangkan namun saya tidak pasti nama-nama durian berkenaan.  Yang pastinya ada durian yang kecil comel, yang bersaiz sederhana dan durian yang paling besar dari kalangan dua jenis durian tadi.  Ketiga-tiganya mempunyai warna dan rasa yang berlainan.

Sunat Melambatkan Waktu Bersahur

 
Kualiti makanan yang diambil perlu diteliti sebaiknya agar tubuh badan kita 
mendapat nutrien dan tenaga yang secukupnya bagi berpuasa di siang hari.

Assalamualaikum...


Seperti hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh). Baginda pun menjawab: sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat.
Huraian Hadith: 
1. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat Al-Quran.

3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.

Bertarawih di Masjid Kampung Hulu, Melaka


Assalamualaikum....

Malam tadi (01/08/201) saya berkesempatan untuk menyertai solat tarawih di masjid berkenaan.  Jumlah rakaat yang dilaksanakan di masjid ini ialah ialah 23 rakaat (tarawih 20 rakaat + witir 3  rakaat). Imam yang "memimpin" solat ini pada malam berkenaan membawanya dengan baik, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.  Surah yang dibacapun "selesa" untuk dihayati.

Setelah selesai bertarawih, pihak pengurusan masjid menyediakan jamuan kepada jemaah tarawih yang berupakan beberapa air tembikai, jenis kuih-muih dan semangkuk besar mee kari untuk dikongsi oleh empat orang. Tiada pinggan atau mangkuk berasingan disediakan.

Dengan menggunakan sudu yang telah tersedia di mangkuk besar, setiap empat orang jemaah menjamah bersama-sama mee kari.  Saya berasa berbesar hati kerana dapat menjamu makanan dan minuman bersama-sama dengan imam tarawih pada malam itu .

Fakta mengenai solat sunat tarawih
 
Solat sunat tarawih adalah satu jenis solat sunat yang dikerjakan semasa Bulan Ramadhan.  Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat.

Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.
Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadhan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

Kelebihan Sembahyang Tarawih  

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadhan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Kelebihan menyegerakan berbuka puasa

 
Berbuka puasa dengan juadah yang seperlunya sahaja, jangan berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran.  
Hayati maksud terkandung dalam ibadah puasa...


Assalamualaikum...

Melalui hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud :

"Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan"


Huraian Hadith :
1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Margrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan Tarawikh pula selepasnya.

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan