Sunat Melambatkan Waktu Bersahur

 
Kualiti makanan yang diambil perlu diteliti sebaiknya agar tubuh badan kita 
mendapat nutrien dan tenaga yang secukupnya bagi berpuasa di siang hari.

Assalamualaikum...


Seperti hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh). Baginda pun menjawab: sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat.
Huraian Hadith: 
1. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat Al-Quran.

3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.

Bertarawih di Masjid Kampung Hulu, Melaka


Assalamualaikum....

Malam tadi (01/08/201) saya berkesempatan untuk menyertai solat tarawih di masjid berkenaan.  Jumlah rakaat yang dilaksanakan di masjid ini ialah ialah 23 rakaat (tarawih 20 rakaat + witir 3  rakaat). Imam yang "memimpin" solat ini pada malam berkenaan membawanya dengan baik, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.  Surah yang dibacapun "selesa" untuk dihayati.

Setelah selesai bertarawih, pihak pengurusan masjid menyediakan jamuan kepada jemaah tarawih yang berupakan beberapa air tembikai, jenis kuih-muih dan semangkuk besar mee kari untuk dikongsi oleh empat orang. Tiada pinggan atau mangkuk berasingan disediakan.

Dengan menggunakan sudu yang telah tersedia di mangkuk besar, setiap empat orang jemaah menjamah bersama-sama mee kari.  Saya berasa berbesar hati kerana dapat menjamu makanan dan minuman bersama-sama dengan imam tarawih pada malam itu .

Fakta mengenai solat sunat tarawih
 
Solat sunat tarawih adalah satu jenis solat sunat yang dikerjakan semasa Bulan Ramadhan.  Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat.

Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.
Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadhan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

Kelebihan Sembahyang Tarawih  

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadhan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Kelebihan menyegerakan berbuka puasa

 
Berbuka puasa dengan juadah yang seperlunya sahaja, jangan berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran.  
Hayati maksud terkandung dalam ibadah puasa...


Assalamualaikum...

Melalui hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud :

"Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan"


Huraian Hadith :
1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Margrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan Tarawikh pula selepasnya.

Jadual berbuka puasa bagi negeri Melaka - Ramadhan 1432 Hijrah / 2011 Masihi


Amalan yang baik sebelum berbuka puasa malah boleh diamalkan sebelum makan pada hari-hari lain ialah seperti berikut:

1.     Baca al-Fatihah sebanyak 3x
2.     Baca selawat 3x
3.     Baca doa buka puasa seperti biasa

Sebelum memulakan bacaan itu, sediakan air minuman bersih sama ada air suam yang sudah sejuk atau air mineral sekurangnya segelas. Letakkan air tersebut di hadapan kita dan bacalah semua bacaan itu sebelum berbuka puasa.

Perlu diingat, ambil masa untuk membaca itu kadar lima minit atau 10 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa. Untuk itu kumpulkan semua sekeluarga di hadapan makanan. Dan ajaklah mereka mengamalkan amalan yang sama.

Makanlah makanan yang manis terlenih dahulu sebelum menjamah makanan dan minuman yang lain.  Pilihan yang terbaik ialah buah kurma dan diikuti dengan minuman manis (janganlah terlalu manis).  Makan dan minum sekadar yang perlu dan jangan sampai terlalu kenyang kerana itu akan membuatkan anda rasa malas dan tidak larat untuk bersolat.  Ingat, waktu solat maghrib singkat saja, jangan dilewat-lewatkan.

Niat @ doa puasa dan berbuka puasa bulan Ramadhan


Assalamualaikum...

Puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Di sini saya sediakan bacaan niat puasa menggunakan huruf rumi bagi mewakili bunyi niat puasa di dalam bahasa Arab.  Adalah di nasihatkan agar mendengar serta belajar dari guru agama yang bertauliah bagi membezakan bunyi atau sebutan sebenar niat yang telah dirumikan. Saya hanya ingin mempermudahkan kita untuk cepat memahami dan mengetahui akan niat dalam bahasa arab.

Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran. 

Lafaz niat puasa hari-hari :-
nawaitu souma godhin ‘an adaa i, fardhi syahri ramadhaana haadzihis sanati lillahi ta’aalaa  ( Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala ) 

Lafaz niat puasa sebulan (Bahasa Melayu) :-
Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Niat berbuka puasa :-
allahumma laka somtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya
arhamarrohimin ( Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang ) 


Waktu berniat puasa  :-
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.


 


Kemaskini (29 Jun 2014):


Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan