Sifat ehsan terhadap makhluk Allah S.W.T


Assalamualaikum...

Sudah lama saya simpan gambar ini.  Baru kini tergerak fikiran dan jari jemari ini untuk menerbitkan artikel mengenainya...

Terharu dan tersentuh sanubari saya melihat gambar ini yang menunjukkan seorang tua yang sanggup meredah banjir dalam usahanya menyelamatkan haiwan yang mungkin belaannya.  Orang tua itupun dah acup-acup je bergerak merentasi banjir tu.  Lalu teringatkan kisah semasa di Kampung Tanjung Rimau Dalam, Alor Gajah Melaka.

Semasa di kampung, dalam tahun-tahun sebelum saya bersekolah rendah (kenangan sewaktu kanak-kanak), ada membela kucing, ayam dan angsa.  Semuanya jinak dan baik, walaupun ada masanya kucing tu tak menolak ikan...  Masa ada di kampung, suka nak beri ayam-ayam makan. ayam berkenaan akan mengekori saya bila terlihat saya membawa tin yang berisi jagung.  Adakalanya ayam itu akan naik ke atas bahu saya sewaktu mengcangkung (kerana waktu tu beri ayam makan atas tapak tangan).

Pernah menjadi kisah, seperti yang diceritakan oleh makcik saya, dahulu di rumah kampung saya tu ada satu pasangan haiwan yang bersahabat baik.  Haiwan itu ialah seekor kucing dan ayam, namun saya lupa jantina haiwan berkenaan.

Sewaktu tiba masa makan, kucing tu seringkali dilihat menjemput seekor ayam yang menjadi sahabat baiknya itu di pintu lalu membawa ayam tersebut ke dapur untuk makan bersama-sama.  Namun semasa arwah nenek nak buat kenduri, ayam tu pun disembelih untuk dibuat lauk jamuan.  Ini menyebabkan kucing itu sangat bersedih.  Tak lama lepas kenduri diadakan, kucing tu pun menghilangkan diri, membawa hati yang lara kerana sahabatnya telah tiada. Tidak pula kucing itu bersahabat dengan ayam-ayam yang lain. Saya sendiri yang mendengar kisah ini dari makcik saya pun berasa sedih dan bersimpati atas kucing tersebut.  Kejadian seperti kucing dan ayam ni jarang berlaku.  Angsa yang cacat kakinyapun ada kisahnya yang sempat saya alami sebelum angsa berkenaan mati kerana usia tuanya.  Mesti ada hikmah dan keistimewaan haiwan berkenaan yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Pengajarannya.., sedangkan haiwan berlainan jenis boleh hidup baik-baik, inikan pula kita sesama manusia, sama agama, sama negara.  Demi kekuasaan, kekayaan, kebendaan, manusia sanggup membuat fitnah demi fitnah untuk menjatuhkan manusia lain.   Kenikmatan dan rezeki kurniaan Illahi dibolot sewenang-wenangnya.  Sudahlah menuduh manusia lain dengan bermacam-macam variasi fitnah, sedangkan diri mereka sendiri sebenarnya adalah jahat yang mungkin menyamai tahap Jin Ifrit...

Maksud tersirat Hari Ibu : budaya dan resam orang kafir


Assalamualaikum...

Seperti "Hari Bapa" dan "Valentine", umat Islam menerima bulat-bulat apa yang diperkenal dan dianjurkan oleh dunia Barat tanpa meneliti perkara yang terselindung disebaliknya.  Kenapa mesti ditetapkan hari sebegini, sedangkan ianya adalah sangat berbeza keadaannya dengan peristiwa besar yang lain seperti hari kemerdekaan atau ulang tahun perkahwinan.  Tidak patut diadakan hari ibu atau bapa kerana setiap hari mereka adalah ibubapa kita selama-lamanya.  Setiap hari kita harus mengenang usaha ibu bapa kita untuk menjadikan keluarga kita sesempurna yang mungkin.  Islam tidak mengajar umatnya mencipta dan menyambut hari sebegini.  Ini merupakan budaya yang dikosmetikkan oleh orang barat (kristian) bagi menyebarkan budaya mereka secara halus pada orang Islam yang naif.

Yang sedihnya ada orang Islam yang bermati-matian mempertahankan budaya yang dicipta oleh orang kafir, sedangkan banyak lagi isu-isu agama Islam yang tidak atau kurang diendahkan, apatah lagi mempertahankan Islam secara khusus.

Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diselaraskan dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

COOP Fest 2011 Zon Selatan

Assalamualaikum...

Pada 30 April hingga 2 Mei 2011 lalu, melalui Koperasi Usahawan GIATMARA Melaka Berhad, syarikat saya telah menyertai festival koperasi tersebut yang diadakan di Dataran Sejarah Ayer Keroh Melaka. Festival yang bertemakan "1 Komuniti, 1 Koperasi" ini dirasmikan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

    

  

 **Rasa gembira kerana berjaya menarik perhatian YB Dato' Sri Ismail Sabri untuk "berpatah" kembali ke booth Koperasi Usahawan GIATMARA Melaka Berhad untuk mendengar penerangan dari saya, walaupun hanya untuk lebih kurang 30 saat..

** Koperasi Usahawan GIATMARA Melaka Berhad merupakan sebuah koperasi yang ditubuhkan melalui Kelab Usahawan GIATMARA Melaka. Rata-ratanya terdiri dari kalangan usahawan lepasan GIATMARA, terutamanya dari negeri Melaka.

Kursus Pengurusan Mesyuarat Agung Koperasi (WSC314) di Maktab Kerjasama Malaysia Wilayah Selatan

 
Tempat kursus WSC314 diadakan.

Assalamualaikum...

Semalam (Khamis, 28/04/2011) saya baru balik dari menghadiri kursus berkenaan, yang bermula dari 26 hingga 28 April 2011.  Sebelum tu saya dah mula selsema, batuk dan demam, jadi perjalan jauh ke Johor Bahru adalah memenatkan. Sampai di depan Kompleks Hang Tuah, Melaka hampir pukul 7.00 petang (tidur di kedai saya).Ini merupakan kursus kali ke dua yang berkaitan dengan koperasi yang telah saya sertai.

Kursus berkenaan yang berlangsung selama tiga hari, diadakan di Bilik Ixora, Maktab Kerjasama Malaysia Wilayah Selatan, yang beralamat di Tingkat 1, Bangunan Kerjasama, Jalan Dhoby, 80000 Johor Bahru, Johor.  Penginapan para peserta adalah di Hotel Tropical Inn, Johor Bahru.  "Check in" hotel pada pada 25/04/2011 bersama-sama dengan pengerusi Koperasi Usahawan GIATMARA Melaka dan seorang anggota koperasi.  Saya pula adalah calon ahli lembaga pengarah yang bakal dilantik dalam mesyuarat agung yang akan datang.

Dalam kurus ini, saya juga telah berjumpa dengan beberapa orang yang juga telah menyertai kursus yang kali pertama saya pergi sebelum ini.  Kesimpulannya kursus kali ini agak menyelesakan dan aman dengan jadual yang tidak memberi tekanan serta pengisian dan penyampaian kursus yang boleh diterima dengan baik.  Ada juga mendapat kawan-kawan baru yang datang dari koperasi wilayah selatan iaitu Johor dan Melaka.  Ada antara mereka yang merupakan usahawan sepenuh masa, dari koperasi institut pengajian tinggi dan sekolah.

 
 
Gambar diambil semasa hari pertama tiba di hotel selepas "check in"

 
Ketika berkursus di dalam "Bilik Ixora"


 
"Cenderahati" yang diperolehi dari Hotel Tropical Inn

Haiwan semakin bijak, manusia semakin bodoh

 Chimpanzi yang diberi nama "Kanzi" sedang berinteraksi dengan salah seorang pengajarnya
(video mengenai haiwan ini ada di akhir artikel)


Assalamualaikum...

Sesetengah haiwan sememangnya memiliki tahap kecerdasan otak yang boleh dikagumi.  Haiwan seperti anjing dikatakan boleh membantu urusan manusia serta dilatih untuk tugasan tertentu.  Dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsikan satu kisah mengenai chimpanzi yang diberi nama Kanzi.

Kanzi adalah sejenis beruk berusia 30 tahun (pada tahun 2011) yang cukup terkenal. Selain boleh berbincang dengan manusia dan memahami 450 patah perkataan, ia pernah menjadi tokoh dalam suatu buku. Haiwan ini mampu memahami dan berkomunikasi dengan manusia serta menggunakan 30 hingga 40 kata manusia setiap hari. Kerana kemampuannya, Kanzi sudah menjadi selebriti sejak akhir 1980an. Ia hidup di Great Ape Trust, Iowa, di mana seorang saintis iaitu Dr. Sue Savage Rumbaugh mengajarkannya "bicara" dengan menunjuk simbol di komputer. 

Hingga kini, Kanzi mampu mengumpulkan dua kalimah dan menunjukkan penemuan luar biasa apabila dapat menyebut frasa baru. Kanzi juga mampu meniup belon, yang menjadi bukti bahawa ia mampu mengawal pernafasan. Sesuatu yang sebelum ini dipercayai hanya mampu dilakukan oleh manusia sahaja.

Saintis ini juga merawat Teco, anak Kanzi yang berusia 4 tahun, Teco mempunyai bakat seperti Kanzi, berkemampuan lingustik yang luar biasa. Apalagi Teco telah hidup dengan manusia sejak lahir. Kepopularitian Kanzi semakin meluas, ketika ia menjadi "subjek" buku di National Geographic dan majalah Time. Ia menjadi terkenal kerana menjadi haiwan pertama yang belajar bahasa secara semulajadi, bukan kerana "diperintah". Selain itu, ia juga mahir membuat peralatan dari batu, sehingga dapat membantu para saintis memahami tahap kemahiran manusia di zaman awal peradaban manusia di muka bumi ini.

Cuba kita bandingkan pula dengan kelakuan manusia pada hari ini.  Ada keputusan yang dibuat oleh sesetengah golongan termasuklah di Malaysia menghasilkan keputusan yang dianggap bodoh.  Banyak keputusan yang diambil berdasarkan frasa "buat dahulu, fikirkan kemudian". Buang anak, memfitnah, membunuh, merompak harta negara dan wang rakyat serta banyak lagi aksi kebodohan manusia yang amat memalukan.  Ingatlah hanya Islam sahaja yang jadi penyelamat kebodohan manusia, bukannya dengan pelbagai slogan setiap kali negara bertukar pentadbir negara, tetapi hasil diakhirnya tetap mengutamakan kepentingan golongan tertentu sahaja.  Rakyat jelata dibiarkan derita.

 

 

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan