Assalamualaikum...
Kemungkinan ada benarnya rakyat di Indonesia diupah untuk berkonfrantasi dengan Malaysia oleh pihak yang mungkin juga berkepentingan politik di sana. Memang ianya menjejaskan keharmonian serumpun di Asia Tenggara ini, namun fikirkanlah dengan sedalam-dalamnya.., kenapa perkara seperti ini boleh berlaku di zaman ketamadunan manusia semakin maju.
Walaupun dikatakan graf ekonomi di Indonesia semakin baik, namun sebenarnya mereka masih lagi susah dan sukar untuk mencari sesuap nasi. Yang miskin bertambah papa, yang kaya makin menggila membina dan membolot kekayaan untuk diri mereka semata. Namun apabila ada pihak yang menawarkan upah yang agak lumayan pada rakyat yang miskin, mereka tidak berfikir panjang kerana dalam fikiran mereka hanyalah untuk membeli bahan makanan untuk diri sendiri serta keluarga. Ditambah lagi kemungkinan pihak berkepentingan politik di Indonesia mempergunakan semangat nasionalisme rakyat Indonesia untuk memprovokasikan hubungan serumpun Malaysia - Indonesia.
Saya menyarankan pada sahabat-sahabat sekalian agar merenung dengan dalam sambil bermuasabah diri atas perkara yang mendukacitakan ini. Sesuatu yang berlaku itu, janganlah terlalu cepat kita membuat kesimpulan dan hukuman, tetapi fikirkanlah sebab-sebab ianya terjadi. Adakah semua rakyat Malaysia betul-betul sayangkan Malaysia sedangkan kapal dagang dari negara Yahudi Zionis boleh memasuki perairan Malaysia dan berlabuh di dermaga negara kita?. Bagaimana pula dengan APCO? Undang-undang negara kita digunakan sepenuhnya dari ajaran Islam..? Adakah dengan mengibarkan bendera Malaysia sudah menandakan semangat kebangsaan yang tulin rakyat negara ini?