Morten Walk : bakal dibuat di Melaka

 


Menelusuri Sungai Melaka yang mengalir di tengah-tengah bandar raya Melaka sambil menikmati keindahan panorama kota bersejarah menjadi salah satu aktiviti menarik bagi para pengunjung dari dalam mahu pun luar negara.

Jika dahulu Sungai Melaka menjadi laluan penting untuk aktiviti perdagangan, kini sungai tersebut terus masyhur sebagai lokasi tumpuan bagi aktiviti pelancongan di bandar Melaka.

Melihat pada ruang dan potensi tinggi kawasan berkenaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya, UDA Holdings Berhad (UDA) mengambil inisiatif membangunkan Hab Keusahawanan Morten Walk di pesisir Sungai Melaka. Ia bertujuan mempergiat aktiviti keusahawanan, seterusnya memacu ekonomi negeri.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk, yang bertempat di Kampung Morten adalah salah satu usaha pihaknya menyediakan pusat perniagaan khusus, seterusnya memberi manfaat kepada usahawan tempatan.

“Kemudahan ini memberi peluang buat mereka meluaskan perniagaan di ruang niaga yang strategik, kondusif dan menarik.

“Usahawan perlu merebut kesempatan untuk menjalankan bisnes di lokasi tumpuan iaitu di tengah-tengah bandar serta pusat tumpuan pelancong bagi menaik taraf perniagaan dan penjenamaan mereka.

“Dalam masa yang sama, pembangunan hab ini juga dapat mewujudkan rantaian bekalan ekosistem keusahawanan di kawasan tersebut, seterusnya merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.13 ekar (RM1.67 hektar) dengan nilai pembangunan RM8 juta, Hab Keusahawanan Morten Walk terletak di lokasi strategik berdekatan pelbagai tarikan terkenal seperti perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari.

Pembangunan berkonsepkan kabin kontena yang moden dan trendy itu dijangka mula beroperasi pada bulan April 2022 dan menyediakan 100 ruang niaga merangkumi lot tetap berupa kabin kontena yang berhias cantik dengan konsep ceria dan lot terbuka untuk promosi.

Ruang niaga yang disediakan sesuai bagi pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai serbaneka, kedai IT dan sebagainya.

Sebanyak sembilan kemudahan tambahan serta lot terbuka turut disediakan bagi menempatkan aktiviti-aktiviti promosi seperti ruang pameran, pesta makanan, pesta buah-buahan, pesta kebudayaan dan kesenian, mini konsert serta pusat riadah kanak-kanak.

Selain itu, Morten Walk mempunyai sebuah dewan tertutup berkapasiti 500 orang dan dibuka untuk sewaan orang ramai bagi mengadakan pelbagai majlis termasuk kenduri kendara.

Sementara usahawan yang layak turut ditawarkan bantuan berupa kadar sewa di bawah harga pasaran, selain insentif termasuk rebat kos pengurusan atau sewaan dan manfaat fasiliti.

Mohd. Salem menambah, Hab Keusahawanan Morten Walk bakal menjadi platform bagi mengukuhkan pasaran produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan melonjakkan potensi usahawan PKS di bawah agensi MEDAC serta jabatan kerajaan negeri.


Kredit : KOSMO  ( Nor Hanisah Kamaruzaman )

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan