|
Gambar hiasan |
Sebuah bangunan lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman akan diubahsuai menjadi dua blok iaitu untuk lelaki dan wanita bujang, masing-masing dengan 120 buah bilik, bagi menjayakan konsep 'capsule hotel' di bawah inisiatif dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Golongan bujang berpendapatan rendah yang tinggal di ibu kota bakal menikmati kadar sewa bilik serendah RM100 sebulan menerusi skim 'micro-housing' mulai tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, inisiatif itu diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu mengurangkan beban golongan bujang dalam kumpulan B40 yang mengalami kesukaran mencari bilik sewa ketika bekerja di sekitar ibu kota.
"Kami akan membuat konsep seperti 'capsule hotel' yang mana sebuah bangunan lama DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah dikenalpasti dan akan diubahsuai menjadi dua blok iaitu untuk lelaki dan wanita bujang, masing-masing mempunyai 120 buah bilik.
"Dua blok bangunan itu boleh menampung sehingga 200 penghuni dan mereka akan dikenakan kadar sewa bulanan serendah RM100," katanya ketika wawancara '100 hari Datuk Bandar Kuala Lumpur' di sini, pada Selasa, menurut laporan Bernama.
Bagaimanapun, Nor Hisham dipetik berkata, penghuni bangunan itu tidak dibenarkan memasak.
"Kerja-kerja pengubahsuaian mula dilakukan sejak dua minggu lalu dan peruntukan untuk tujuan ini adalah di sekitar RM5 juta hingga RM10 juta.
"Kami menjangkakan ia akan siap dalam pertengahan tahun ini dan akan mula membuka permohonan kepada golongan bujang dalam tempoh yang sesuai," katanya.
Katanya penghuni 'micro-housing' dikehendaki berpindah jika mereka berkahwin atau membeli rumah.
"Kami akan membuka permohonan secara 'online' menerusi iklan DBKL. Buat masa sekarang kami akan tertumpu kepada bangunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kami akan memperluaskan program ini ke kawasan lain di ibu kota jika ada permintaan tinggi," katanya.
Sumber :
- Utusan Online
- Astro Awani Online