Komposer terkenal Johan Nawawi yang juga suami kepada penyanyi Nora Ariffin telah meninggal dunia selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya (SJMC), awal pagi Jumaat (24 Mac 2017).
Memetik laporan
mStar online, berita itu disahkan oleh pengurus kepada Nora iaitu Lisa Aryanti Tahir.
Johan yang berusia 52 tahun, dikatakan dibawa ke pusat perubatan berkenaan kerana keadaan kesihatannya kurang mengizinkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 pagi.
Jenazah akan dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.
Johan banyak mencipta lagu untuk isterinya seperti Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera.
Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, Syakir Iman, 24 tahun, Syakir Alif, 18 tahun, Putri Nor Dahlia, 13 tahun, dan Putri Nor Fathehah, 5 tahun.
Biodata ringkas :
Johan Nawawi adalah penggubah lagu pop dalam industri muzik Malaysia sejak 1980-an. Antara lagu popular ciptaannya berjudul Hanya Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera nyanyian Nora yang juga merupakan isterinya.
Johan boleh bermain alat-alat muzik seperti piano dan gitar dan aktif bermain muzik sejak tahun 1986.
Beliau adalah berasal dari Ipoh, Perak tetapi kampung halamannya adalah di Pasir Mas, Kelantan. Beliau adalah anak bekas Ketua Pengarah Pusat Islam yang pertama, Mohd Nawawi Mahmud. Mereka menetap di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau memiliki diploma bidang arkitek daripada Federal Institute of Technology (FIT).