Pemain muda negara, Nazmi Faiz Mansor yang terpilih menjalani ujian pemilihan selama seminggu bersama kelab divisyen satu Liga Portugal, SC Beira-Mar tidak mahu mengulangi episod sama seperti pernah dilalui beberapa pemain negara sebelum ini.
Walaupun mungkin ramai yang tidak mengenali kelab berkenaan berbanding liga di negara ternama yang lain, namun Nazmi tetap beranggapan peluang pemilihan seminggu yang bermula pada 13 hingga 21 Mei itu satu perkhabaran gembira buat dirinya untuk terus mengembangkan bakat dalam bola sepak.
Apa yang lebih menarik dengan tawaran daripada kelab yang pernah dibintangi legenda Portugal, Eusebio da Silva Ferreira itu dibuat secara ‘merit’ selepas prestasi agen melihat aksi cemerlang Nazmi ketika beraksi dalam saingan Liga Singapura.
Mengikut prestasi semasa, kelab yang digelar dengan panggilan Auri Negros itu kini menduduki tangga ke 12 daripada 16 pasukan dalam saingan liga utama Portugal.
Sementara itu, jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee, berkata di Portugal tidak ada syarat ketat seperti ditetapkan di saingan Liga Inggeris.
“Di Portugal, mereka benarkan pemain yang mereka fikir layak bermain. Jawapan mengenai keputusan pemilihan itu akan dapat diketahui dalam masa seminggu dan kelab berkenaan akan maklumkan kepada kita apa keputusan mereka,” katanya. - sumber : Berita Harian