Bongkar rahsia kenapa watak Upin Ipin jadi anak yatim


Setelah lebih 13 tahun dan memasuki 525 episod, rahsia sebenar kenapa watak popular animasi Upin dan Ipin menjadi anak yatim didedahkan  penciptanya.

 Dua karakter utama kanak-kanak tersebut rupa-rupanya tanpa sengaja dicipta tiada ibu bapa kerana terpaksa mengejar ‘deadline’ atau tarikh akhir siaran yang sangat cepat pada ketika itu.

Rahsia berkenaan dibongkarkan sendiri oleh pengasas dan Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi pada sesi sembang santai pagi di sini, semalam.

“Masa itu, rancangan kartun ini cuma lima minit dan lebih berkisar suasana bulan Ramadan pada 2007 apabila ditayang di stesen TV9 serta perlu disiapkan pula episod Hari Raya Puasa.

 “Bagaimanapun, ekoran kesuntukan masa yang agak terhad, watak ibu bapa kepada Upin dan Ipin tidak dapat diselit pula,” katanya sambil mengimbau asal kisah dua figura cilik tersebut.

 Upin dan Ipin yang kini  memasuki 15 musim, asalnya direka hanya sebagai watak sampingan cadangan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dicipta beliau pada 2005. Ia mendapat sentuhan skrip nukilan isterinya, Ainon Ariff dengan berlatar belakang kehidupan penduduk kampung di Malaysia serta mendapat inspirasi kejayaan siri Doraemon dari Jepun.

Musim pertama Upin dan Ipin yang menerima sambutan luar biasa itu membolehkan ia meraih kategori Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur pada akhir 2007 lalu.

Mengulas lanjut, Burhanuddin yang pernah bertugas dalam bidang minyak dan gas sebelum 2004, turut mengakui pada mulanya Upin dan Ipin tidak dicipta untuk menjadi anak yatim piatu.

 “Namun situasi waktu itu menyebabkan watak orang tua mereka tidak dapat siap dan sebagai ganti, episod berikutnya dimulakan babak ziarah kubur ibu bapa si kembar tersebut,” katanya.

Menariknya ujar beliau, idea adegan tambahan itu dicadangkan isterinya selaku Pengarah Kanan Kandungan bagi memaklumkan penonton yang Upin dan Ipin telah kematian ibu bapa.

 Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana dirinya yang merupakan lulusan kejuruteraan petroleum dari Universiti Teknologi Malaysia boleh pula bertukar arah kepada bidang animasi.

 Segalanya bermula pada 2005 lalu apabila tiga graduan Universiti Multimedia datang bertemu beliau serta meluahkan hasrat mahu menerbitkan karya animasi unik 100 peratus tempatan. Tertarik dengan kertas kerja mereka, beliau sanggup menjelajah ke Jepun, Perancis, Amerika Syarikat dan Korea Selatan untuk belajar bagaimana usaha pembuatan kandungan animasi.

 “Memang pernah ada cita-cita saya untuk mewujudkan rancangan kartun kanak-kanak yang sarat elemen pendidikan tetapi cara penyampaian perlulah bersahaja,” tambah Burhanuddin.

 Eksperimen beliau ternyata berjaya dengan Upin dan Ipin turut popular di luar negara malah ayat ringkas watak pasangan tersebut iaitu ‘Betul, Betul, Betul’ menjadi ajukan identiti program.

 Siri berbahasa Melayu itu turut disiarkan menerusi saluran penyiaran satelit global, Disney Channel Asia selain wadah penstriman popular antarabangsa, Netflix dan Disney+ Hotstar.


Kredit : Utusan

Related Posts:

  • Cabaran untuk menjadi usahawan...Assalamualaikum... Penulis telah lama menyedari bahawa "menjadi usahawan" ataupun memiliki perniagaan sendiri bukannya semudah dilihat ataupun dikata. Mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan ini perl… Read More
  • Hari pertama di Smartech StationariesHari ini adalah hari pertama penulis berkhidmat di syarikat tersebut dalam usaha penulis mengumpul modal serta pengalaman. Setakat ini keadaan adalah baik dan terkawal. Seronok juga sesekali pelanggan yang terdiri dari pelaja… Read More
  • Menjadi pemilik perniagaan atau kerja makan gaji?Dalam zaman sekarang,pelbagai peluang wujud untuk rakyat Malaysia memperolehi kehidupan yang terbaik. Bermacam-macam peluang atau sumber kewangan halal yang boleh diterokai. Satu"trend" yang semakin popular ialah menjadi usa… Read More
  • Hello 2 you....I'm glad to join this "blog world" to make friend and share with you about computer,soccer,martial art or everything related to the topic that i put on this blog.I hope that it should be "infotainment" for all of us....thank … Read More
  • Teknik beladiri dari bekas pelatih kelab Tae Kwon Do ITTAR KLSalam Ramadhan dan Aidilfitri...Video ini adalah rakaman aksi teknik beladiri dari kelab TKD ITTAR KL yang di rakam dalam tahun 2003 & 2004 di Dewan Institut Teknologi Tun Abdul Razak ( ITTAR ) Kuala Lumpur.Tetapi kini ke… Read More

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan