Malaysia kecam berita fitnah dari Al Jazeera


Malaysia mengecam laporan media antarabangsa, Al Jazeera yang membuat tuduhan membuta tuli terhadap usaha negara ini dalam mengawal penularan COVID-19, membabitkan warga asing.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata laporan media berkenaan jelas tidak tepat dan berniat memburuk-burukkan nama baik Malaysia.

Katanya, tuduhan Malaysia tidak memberi layanan yang adil kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan adalah tidak benar, sebaliknya tindakan yang dibuat berdasarkan undang-undang.

"Tuduhan kita kurung secara tidak adil PATI adalah tidak benar. Bukan setakat PATI, tapi PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) di kawasan lain seperti pusat tahfiz di Hulu Langat dan perkampungan di Hulu Langat juga dikurung. Bukan saja membabitkan warga asing semata-mata.

"Warga tempatan kita pun buat kawalan untuk pastikan tidak ada mereka yang keluar dari dalam dan individu dari luar mudah masuk ke dalam. Ini semua untuk pastikan mereka diselamatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, setiap individu dalam PKPD akan dilakukan saringan termasuk PATI dengan kos saringan mereka ditanggung kerajaan.

"Menuduh tindakan kita bersikap rasis juga tidak benar. Apa yang dilakukan berdasarkan undang-undang. Kita gunakan akta Imigresen untuk tangkap mereka yang tiada dokumen sah.

"Tanya Al Jazeera. Berikan mana-mana negara yang membenarkan warga asing yang tiada dokumen boleh bebas di negara mereka. Saya cabar Al Jazeera tunjukkan negara mana yang berikan kebebasan mutlak. Setahu saya tidak ada," katanya.

Kredit : Berita Harian

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan