Celaan dalam pengertian moden adalah bermaksud kritikan. Maka celaan Allah SWT kepada manusia adalah kritikan atau teguran Allah SWT kepada hambaNya yang menzalimi diri sendiri dengan mengamalkan sikap atau moral yang tidak baik dalam kehidupan seharian.
Berikut adalah sikap dan kelakuan manusia yang mendapat celaan dari Allah SWT :
Hasad dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk
kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup
orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad
dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan’
(riwayat Muslim).
Cintakan dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan
tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia
seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk
akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan
Muslim).
Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis
percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia
Gelojoh ketika makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang,
menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa
kepada pembaziran. Contoh terbaik ialah semasa kenduri atau jamuan majlis perkahwinan.
Ego atau sombong
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam
banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah
saja yang bersifat maha besar.
Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun,mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.
Kedekut & bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk
menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang
memerlukan.
Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
Gemarkan pujian atau riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang
dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai
bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak
diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.
Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan
kepandaian yang dikurniakan Allah SWT. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam
diri kerana telah diselaputi perasaan ego. Memikirkan segala kejayaan yang dikecapi adalah hasil usahanya sendiri tanpa memikirkan bahawa semuanya adalah atas izin dari Tuhan yang Maha Esa...