Pengadil nombor satu negara, Subkhiddin Mohd Salleh, yang pernah
terpilih untuk pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman dan 2010 di
Afrika Selatan, menyatakan hasrat untuk bersara dari profesion
pengadilan bola sepak.
Pengadil Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) itu meluahkan hasrat untuk bersara selepas
memikirkan banyak perkara termasuk memberi ruang kepada pengadil muda
memperkembangkan kemahiran dalam arena bola sepak tempatan.
Kata beliau dalam suatu temu-ramah dengan agensi berita,
Bernama :
“Saya
memilih untuk bersara kerana ingin memberi lebih masa dengan keluarga
kerana sebelum ini sibuk dengan tugasan sebagai pengadil,”.
Beliau yang berasal dari Parit Buntar,
Perak, mula meniup wisel bagi perlawanan bertaraf dunia sebagai pengadil
pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea Selatan dan
mengakhiri kariernya di pentas dunia di Piala Dunia Afrika Selatan tahun
lepas.
Beliau yang masih bertugas sebagai guru di Sekolah
Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, berkata walaupun bersara, beliau
masih bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka yang
berminat dengan profesion tersebut.
“Dalam profesion ini, tiada
jurulatih khusus seperti pemain bola sepak akan memberi tunjuk ajar
kepada pengadil baru sebaliknya mereka perlu mempelajari sendiri
daripada pengadil senior yang lebih berpengalaman. Perkara yang
turut saya lalui ketika mula dipilih sebagai pengadil FAM pada tahun
1997,” kata beliau yang telah berusia 45 tahun dalam temu-ramah berkenaan.
**
Sumber berita dirujuk dari Bernama