Pakatan Rakyat mencadangkan konsep rumah ‘sewa hingga milik’ sebagai alternatif bagi menyesaikan isu pinjaman perumahan kos rendah yang dibiayai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga menyarankan kerajaan tidak mengenakan kadar faedah sekiranya konsep sewaan yang dimasukkan sebagai bayaran kepada pembelian rumah itu dilaksanakan.
“Sebagai contoh, harga rumah RM35,000 dengan masa bayaran melalui sewa selama 25 tahun, akan menjadikan bayaran bulanan hanya sekitar RM117, tidak termasuk kos penyelenggaraan bangunan kerana harga tersebut sudah dimasukkan nilai rumah tersebut.
“Kerajaan juga tidak perlu meminjam daripada KWSP atau institusi kewangan lain. Konsep ini akan juga mengurangkan kos pentadbiran kerana sistem kutipan sewa sedia ada sudah mencukupi.
“Ini adalah konsep semua menang – rakyat senang,” kata Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam surat terbukanya kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Izzah menjelaskan, kadar faedah 6.5 peratus yang dikenakan ke atas pinjaman seperti yang diumumkan Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin, terlalu tinggi.
“Kenapa kadar yang lebih rendah, iaitu 2 peratus dikenakan kepada pinjaman mudah RM250 juta projek National Feedlot Center (NFC), melibatkan suami dan keluarga salah seorang Menteri dalam kabinet Kerajaan Pusat?,” soal beliau.
Dalam pada itu katanya, Pakatan Rakyat menerima cabaran debat yang dikemukakan Raja Nong Chik, berhubung penggunaan RM1.5 bilion dana KWSP untuk membiayai skim pinjaman perumahan berkenaan. Namun tajuk debat itu, kata Izzah, hendak lah menjurus kepada pembiayaian terbaik untuk skim itu.