Kajang ialah sebuah mukim dan bandar di daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia. Ia bersebelahan dengan mukim Semenyih, mukim Hulu Langat dan mukim Ampang.
Ia terletak lebih kurang 14 batu di sebelah tenggara Kuala Lumpur.
Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungi melalui jalan raya dan jalan
keretapi. Kajang juga dapat dihubungkan dengan Putrajaya, Pusat
Pentadbiran Negara dan Cyberjaya Bandar Multimedia Negara. Di sebelah
baratnya pula terletak Bandar Puchong, Batu 3 dan Klang.
Jika dilihat dari sudut topografinya pula, Mukim Kajang adalah
terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras
laut. Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit bukau dan dipenuhi
oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai
seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua.
Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula
diterokai untuk penempatan di Mukim Kajang.
Sate Kajang yang popular di seantero Semenanjung Malaysia |
Stadium Kajang menjadi lokasi riadah rakyat setempat |
Terdapat lima pendapat yang popular tentang asal usul nama Kajang :
Pendapat Pertama :
Dipercayai Kajang mulanya telah diterokai oleh orang-orang asli dari suku Temuan
kira-kira sejak tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang
berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang digunakan untuk membuat atap
yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.
Pendapat Kedua :
Seorang pembesar di Sungai Ujong bernama Batin
Berenggai Besi, pernah mendirikan beberapa pondok di pinggir sungai yang
terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap mengkuang
yang dilipat kajang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai
untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang yang dilipat
kajang.
Pendapat Ketiga :
Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi orang Mendailing ialah berpondok/berteduh. Manakala bagi orang Bugis
'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua puak ini pernah bertikaman di salah
sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada sekarang,
kerana salah faham maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku
semasa kedua-dua golongan ini menghulu ke Sg. Langat kerana melarikan
diri dari perang saudara yang berlaku di Kelang di antara tahun 1867
hingga 1873. Setelah peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.
Pendapat Keempat : Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka
oleh Encik Lili juga dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau
pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni
Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran
Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah untuk
penanaman padi di Bukit Sg. Merbau dan membuka lombong Sungai Merbau
yang kini dikenali sebagai Kajang.
Pendapat Kelima :
Raja Alang dari suku Mandailing bersama sekumpulan
pengikutnya berhijrah ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini
belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah
beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' disuatu kawasan
yang sekarang ini dipanggil Jalan Mandailing. Sebahagian
pengikut-pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan Kampung Batu 14
sekarang dengan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya
dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.