Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat
mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah rasul SAW. Bagi mereka yang
melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan
balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’.
Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.
Perkara yang diharamkan dalam perniagaan
Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia
tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada
prasyarat yang mesti dituruti. Bagi menjamin kemaslahatan manusia
terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara
dalam aktiviti pernigaan. Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti
perniagaan ialah:
1. Riba.
Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang
menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari
Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib
dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam
al-quran dan sunnah tentang pengharamannya.
Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Di dalam surah al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan bahawa Allah dan rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhumnya:
Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 289).
Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.
2. Memeras ugut dan megambil harta dengan cara yang batil
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil
harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Mengambil harta orang
lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai
cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan
seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan
sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh
mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur
yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
Pengharaman perbuatan seumpama memeras ugut dan megambil harta orang lain dengan cara yang batil ini, jelas disebutkan dalam sural al-Nisa ayat 29 mafhumnya: (Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).
Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr wa al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).
3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan.
Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan
strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun
perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka
sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk
penipuan dalam pernigaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk
kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.
Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu.
Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَال َأَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي. أي : من غش فليس على دينيى الكامل. رواه مسلم
Maksudnya:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui
setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam
timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah
SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu
menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya
Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah
atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu
maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِيَّاكُمْ وَكَثْرَةَ الْحَلِفِ فِي الْبَيْعِ فَإِنَّهُ يُنَفِّقُ ثُمَّ يَمْحَقُ. أيْ: فأن كثرة الحلف فى البيع قد يؤدي ألى رواج السلعة إلا أنه بعد ذلك إلى يُزِيل الْبَرَكَتها.
Maksudnya:
Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari, sesungguhnya ia telah
mendengar rasulullah SAW bersabda, awas kamu dari banyak bersumpah dalam
berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga
boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan
barakahnya.
Berpandukan kepada dua hadis ini, sebagai peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran agama ia hendahlah mengelak dari sebarang bentuk penipuan dan banyak bersumpah dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.
4. Rasuah.
Rasuah juga merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia boleh
berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam aktiviti perniagaan.
Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table
ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka
dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu
mendapat projek dan peluang pernigaan yang lebih luas, memudahkan
perjalanan projek dan dapat juga membantu memudahkan after sale servis yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.
Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan seumpamanya. Sememangnya rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silatul rahim dan kasih sayang.
Rasuah kadangkala membawa keuntungan yang berlimpah, namun mesti diingat bahawa ia juga akan menghakis keberkatan dalam perniagaan, bahkan mereka akan mendapat laknat daripada Allah SWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah,Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي.
Maksudnya:
Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.
Gejala rasuah dalam semua situasi dan kondisi termasuk dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.
5. Memonopoli barangan (ihtikar).
Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang
dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti gula, beras,
minyak dan seumpamanya biasanya dibuat para peniaga agar barangan
keperluan berkurangan dipasaran dan hasilnya harga barangan tersebut
dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu,
perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan
terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan
kemudharatan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan
miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. Dalam satu hadis Rasullah
SAW bersabda;
عن معمر أن النبي (ص) قال: " من احتكر فهو خاطئ" . أى: فهو بعيد عن الحق والعدل. رواه مسلم.
Maksudnya:
Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Barang siapa memonopoli
barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah
tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.
Menurut Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Qayyim, antara bentuk monopoli yang diharamkan juga boleh berlaku dengan cara para perniaga bersepakat antara satu sama lain bagi menjual barangan dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran.
Hikmah diharamkan perbuatan monopoli ini adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum. Para fuqaha telah berijmak pendapat bahawa sekiranya seseorang mempunyai makanan yang tidak ada pada orang lain; sedangkan orang lain sangat memerlukannya, maka dalam situasi seumpama ini diharuskan bagi pemerintah untuk memaksa pemilik makanan tersebut supaya menjual makanan yang berada dalam simpanannya. Tujuannya adalah bagi menolak kemudaratan terhadap masyarakat. (Al-Banhawi, Mohd Abdul fattah, Fiqh al-Muamalat Dirasah al-Muqaranah, Jamiah al-Azhar, Tanta, 1999, hlm. 223)
6. Larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan.
Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut
para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan
pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan.
Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk
juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini,
perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.
Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
Terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar disempurnakan sukatan dan timbangan dalam aktiviti pernigaan. Antaranya firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 35, mafhumnya: dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). Dalam surah al-Rahman ayat 9, Allah SWT berfirman, Maksudnya: dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
Semua ayat tersebut memerintahkan agar disempurnakan timbangan dan sukatan. Bahkan dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian. Namunpun demikian, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.
7. Larangan membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak.
Sebagaimana dijelaskan bahawa Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk
aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang dan menegah sama
sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan
curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk
tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan, bukannya kepada kebaikan dan
ketakwaan. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : « من اشترى سرقة ، وهو يعلم أنها سرقة ، فقد شرك في عارها وإثمها »
Maksudnya:
Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda
bersabda: Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui
barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri)
pada aib dan dosanya.
Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur kepada
pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan
menggunakannya untuk memudharatkan orang Islam. Jual beli dalan situasi
seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat
dosa dan permusuhan. Perihal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah
SAW:
ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ قَالَ رَسُول ُاللَّهِ صَلَّى اللَّه ُعَلَيْه ِوَسَلَّمَ لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
Maksudnya:
Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW bersabda, Allah melaknat arak, peminum, penghidang, penjual, pembeli, pemerah, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya”
عَنْ عِمْرَانَ بن حُصَيْنٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"نَهَى عَنْ بَيْعِ السِّلاحِ فِي الْفِتْنَةِ
Maksudnya:
Dari Imran bin Husain, “Sesungguhnya Rasulullah melarang menjual senjata ditengah berlangsungnya fitnah (perselisihan)”
Seumpama itulah juga, haram dan berdosanya perbuatan menjual apa-apa
barangan yang membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada
tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan
sebagainya.
8. Haram menjual najis.
Telah berlaku Ijma’ dikalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk
perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing,
bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan
barangan najis ini kerana ianya boleh mendatangkan mudarat dan kerosakkan
dimuka bumi.
عن جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ سَمِعْت ُرَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ عَامَ الْفَتْح ِإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْع َالْخَنَازِيرِ وَبَيْعَ الْمَيْتَةِ وَبَيْعَ الْخَمْر ِوَبَيْعَ الْأَصْنَامِ…
Maksudnya:
Dari Jabir bin Abdullahkatanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW
bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan
Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung
berhala.
Penutup
Demikian adalah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti
jual-beli atau perniagaan. Kesemua larangan dan tegahan yang disebutkan
di atas cukup mencerminkan kesempurnaan dan kesyumulan syariat Islam.
Semua perkara yang haramkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan
mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia bepegang
teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat
rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Artikel asal dari :
Abdul Muhaimin Mahmood
Artikel asal dari :
Abdul Muhaimin Mahmood
Penolong Pengarah
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi (CMSE)
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi (CMSE)
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim