Apabila terbinanya sesuatu struktur atau membangunnya sesuatu kawasan, pasti ada yang berniat agar nama masing-masing dicatatkan dalam buku rekod sejarah dalam kategori "yang pertama". Pada hari pertama dibuka kepada orang awam, kemalangan pertama telah dilaporkan berlaku namun tidak serius. Ada yang mendakwa kemalangan itu adalah dirancang oleh "mangsa" bagi membolehkan namanya dicatatkan dalam rekod. Paling terkini, dilaporkan anak timbalan menteri jatuh dari jambatan berkenaan ketika memandu, namun berjaya diselamatkan oleh nelayan yang lalu di perairan berdekatan.
Mungkin selepas ini ada yang cuba mendapatkan peluang, sama ada sengaja mahupun tikda sengaja, untuk nama mereka dicatit dalam rekod sejarah dalam kategori "yang pertama berkahwin di atas jambatan", "yang pertama bunuh diri", "yang pertama membayar tol" dan sebagainya asalkan "yang pertama...."
Baiklah, di bawah ini adalah sedikit sebanyak penerangan mengenai jambatan baru yang boleh dikatakan menjadi kebanggaan serta mampu menjadi ikon pelancongan negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia.
Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
Jambatan Kedua Pulau Pinang atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ialah sebuah jambatan tol jalan raya kembar baharu di Pulau Pinang yang telah siap dibina sepenuhnya pada Februari 2014. Ia menghubungkan Batu Kawan di tanah besar Seberang Perai dan Batu Maung di pulau, Pulau Pinang.
Jambatan ini ialah jambatan kedua yang menghubungkan pulau ke tanah besar selepas Jambatan Pulau Pinang. Jambatan yang menelan kos RM 4.5 bilion ini mempunyai panjang 24 km (15 batu) dan menjadi jambatan yang terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara. China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) pada awalnya dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan pada November 2007 dan dijangka siap pada 2012, namun ia hanya bermula pada November 2008 dan siap pada Februari 2014. Jambatan ini dibina dengan pinjaman besar daripada kerajaan Republik Rakyat China.
Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak pada 1 Mac 2014 dan dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Agong ke-14 Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Jambatan Kedua Pulau Pinang juga mempunyai kompleks tol bersepadu yang pertama di Malaysia dan yang terbesar dengan mempunyai 28 lorong.
Empat lorong dengan dua lorong motosikal akan dibina di atas jambatan
ini. Panjang jambatan ini ialah 24 km (15 batu). 17 km (10 batu)
daripada jambatan ini akan merentasi Selat Selatan, selat yang
menghubungkan Pulau dan Seberang Perai. 1.5 km (1 batu) akan berada di kawasan Batu Maung, sementara 6 km (3 batu) akan berada di kawasan Batu Kawan. Enam persimpangan lebuh raya akan dibina dalam projek ini. K. Preamakanthan dari UEM Construction Sdn Bhd merupakan pengarah projek yang bertanggungjawab ke atas projek ini.
Ia akan mempunyai dua platform yang meliputi kawasan perkhidmatan
& rehat di persimpangan tengah. Ia direka seakan-akan menyerupai
mutiara. Kawasan rehat ini akan menjadi kawasan rehat lebuhraya terapung
pertama di Malaysia.