Syukur kepada Allah SWT kerana pasukan bola sepak Harimau Muda telah berjaya memenangi perlawanan bola sepak kali ini ke atas pasukan bola sepak Kemboja dengan jaringan empat berbalas satu.
Persembahan pasukan Malaysia pada separuh masa pertama kelihatan meyakinkan dengan mendahului tiga gol sebelum waktu rehat. Di bahagian tengah, kelihatan Nazmi dan Baddrol Bakhtiar memainkan peranan penting dalam merencana gerakan pasukan bola sepak Malaysia. Pada separuh masa pertama, saya tertarik dengan cara gerakan dan kreativiti Nazmi yang bergandingan baik dengan ketua pasukan iaitu Baddrol Bakhtiar.
Walaupun Nazmi masih muda, berumur 17 tahun, namun beliau kelihatan matang dalam setiap gerakan. Pertahanan Malaysia di separuh masa pertama beraksi baik, cuma Malaysia masih lagi bermasalah di bahagian serangan. Dengan Izzaq Faris yang cuma mampu menjaringkan gol melalui tandukkan pada awal permainan dan beliau kurang mendapat bola dari bahagian tengah.
Percubaan Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti ke arah pintu gol Kemboja berhasil apabila penjaga gol Kemboja gagal menangkap bola yang melantun ke tanah dan terus menerjah jaring gol. Kapten pasukan bola sepak Malaysia ini sekali lagi menambah koleksi jaringan pasukan Malaysia dengan jaringan penalti. Tamat separuh masa pertama, statistik penguasaan permainan ialah Malaysia 67% dan Cambodia 33%.
Pada separuh masa kedua, Malaysia seakan tidak meningkatkan mutu permainannya dan terdapat kelonggaran di bahagian tengah dan pertahanan. Pasukan Kemboja dilihat telah memperbaiki permainan dengan serangan pantas dan lebih tersusun serta kualiti hantaran mereka lebih baik dari separuh masa pertama. Hasilnya, mereka berjaya menjaringkan gol di saat pemain Malaysia dilihat seperti kepenatan dan tidak lagi mempergayakan gerakkan cantik dan berkesan.
Menuju ke waktu penghujung permainan, pasukan Malaysia kembali meningkatkan serangan. Wan Zahrul berjaya mengambil peluang di kala kealpaan pemain Kemboja dengan melakukan "turning" yang baik dan berjaya membuat rembatan, di mana bola itu melambung serta menjunam ke arah sudut gol sebelah kanan Kemboja. Penjaga gol Kemboja, Sou Yaty seperti terkena "gam gajah" kerana tidak mampu untuk membuat sebarang pergerakkan bagi menyelamat gawang golnya.
**p/s : Pada pendapat saya pasukan Harimau Muda ini semakin meningkat mutu permainan mereka dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Diharap pasukan ini sentiasa dapat bersatu sebagai pasukan yang ampuh dari segenap sudut dan berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada tahun 2009 lalu.