Pandemik Covid-19 ternyata memberi impak kepada seluruh penduduk dunia terutamanya dari segi ekonomi. ‘Serangan’ virus itu melumpuhkan pelbagai sektor termasuk sektor penerbangan yang terpaksa menamatkan perkhidmatan pekerja mereka gara-gara virus ini.
Beberapa syarikat penerbangan terpaksa mengambil inisiatif untuk mengurangkan tenaga kerja mereka termasuklah syarikat Malindo Airways Sdn Bhd.
Syarikat penerbangan itu dilaporkan bakal menamatkan perkhidmatan sekitar 2,200 pekerjanya atau lebih daripada separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya lapor Sinar Plus.
Keputusan itu ternyata akan memberi kesan yang mendalam kepada pekerjanya kerana kehilangan sumber pendapatan. Namun, untuk meneruskan hidup, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memastikan dapur sentiasa berasap.
Menerusi satu perkongsian di Facebook,dengan menggunakan langkah kreatif seorang juruterbang menyarungkan seragam kerjanya untuk menjual makanan di gerai miliknya.
Mudah sesuaikan diri dengan jobscope yang berbeza, juruterbang yang dikenali sebagai Kapten Azrin Mohamad Zawawi itu turut menyajikan pelbagai menu menarik seperti mi kari, mihun sup, laksa utara dan rojak buah.
Sungguhpun mempunyai 20 tahun pengalaman sebagai pilot, Kapten Azrin tidak kekok mengendalikan gerainya yang dikenali sebagai Kapten Corner, di BoomTown USJ11.
Perkongsian yang dibuat oleh ayahnya, Mohamad Zawawi Ahmad ternyata mendapat perhatian ramai, yang rata-ratanya mengharapkan segala urusan kapten itu dipermudahkan.
“Semalam, anak saya Kapten Azrin Mohamad Zawawi mengendalikan gerai Kapten Corner miliknya di Boom Town USJ 11 dengan berpakaian seragam lengkap juruterbang.
“Dia tidak akan tahu waktu bila dia bakal menyarung pakaian seragam juruterbang itu lagi kerana tiada siapa yang tahu tentang masa depan industri penerbangan hari ini.
“Kepada semua rakan-rakan, jemputlah datang ke gerainya untuk menikmati juadah enak seperti mi kari, mihun sup, laksa utara dan rojak buah,”
Tahniah kapten, dalam keadaan terhimpit ini tiada apa lagi yang dapat dilakukan melainkan terus berusaha dan tawakal. Semoga semua yang terkesan dengan ‘serangan’ virus ini akan dipermudahkan segala urusan mereka.
Kredit : Lobak Merah