Adakah Irfan Bakti akan kembali ke Negeri Sembilan?

 


Selepas pengendali Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan dikaitkan dengan posisi ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan musim depan, seorang lagi jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, turut sama disebut mengisi posisi berkenaan.

Bekas pengendali Terengganu FC (TFC) berusia 69 tahun itu dikatakan dipanggil oleh pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi mengadakan perbincangan lanjut di Seremban, semalam.

Menurut sumber, Irfan ada datang ke pejabat NSFC semalam dipercayai bagi membincangkan mengenai permohonan beliau yang berminat untuk mengisi posisi selaku ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin.

"Beliau dipanggil bagi membincangkan beberapa perkara dan dipercayai berhubung dengan posisi selaku ketua jurulatih skuad Negeri Sembilan.

"Irfan adalah jurulatih berpengalaman dan mempunyai rekod cemerlang dalam saingan liga bola sepak tempatan.

"Bagaimanapun setakat ini, kita tidak tahu lagi siapa individu yang akan mengisi posisi ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baharu," katanya di sini, hari ini.

Irfan bukan asing bagi pasukan Negeri Sembilan kerana beliau pernah membimbing skuad berkenaan pada tahun 1998 dan 1999.

Sebelum ini, Devan turut menyatakan hasrat untuk kembali ke Negeri Sembilan jika diberi peluang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali sebelum ini, Sazali Saidun.

Devan yang berusia 69 tahun juga pernah membimbing Negeri Sembilan dan berjaya menjulang pasukan itu selaku juara Piala FA pada 2003 selain meletakkan skuad berkenaan sebagai juara Liga Super pada musim 2005/2006.

Negeri Sembilan yang menamatkan saingan di tangga kedua terbawah carta Liga Perdana musim ini, hampir pasti mendapatkan pengendali baharu dalam usaha NSFC untuk mengembalikan semula reputasi skuad berkenaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Sebelum ini, Pengurus pasukan, Abd Razak Mohd Idrus memaklumkan, NSFC menerima sekitar 10 permohonan daripada jurulatih tempatan dan luar negara, yang menyatakan minat untuk membimbing Negeri Sembilan.

Difahamkan, NSCF dijangka akan memutuskan individu yang layak mengisi jawatan berkenaan dalam tempoh terdekat kerana kontrak pegawai dan pemain musim ini akan tamat akhir bulan ini.


Kredit : Harian Metro

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan