Polis tidak menolak kemungkinan insiden kubur berdarah di Tanah Perkuburan Masjid Al Irfan, Derga Alor Setar, Kedah pada September lalu ada kaitan dengan perbuatan khianat.
Malah, polis mengesahkan cecair merah yang ditemui di kubur berkenaan adalah cecair campuran dengan bahan berminyak dan bukannya darah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil ujian ke atas cecair merah itu mendapati ia bukan darah sebaliknya campuran bahan yang menjadikannya seolah-olah darah.
Katanya, cecair itu berkemungkinan diletakkan oleh individu tertentu yang dikaitkan dengan perbuatan khianat.
"Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan kerana ini kerja individu nakal.
"Kes ini dianggap selesai dan kebetulan tanah perkuburan itu masih baharu menyebabkan ia mendap," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Media pada 20 September lalu, melaporkan kisah kubur berdarah yang tular di laman media sosial sehingga mengundang andaian yang boleh mengaibkan jenazah yang baharu dikebumikan dua minggu.
Berikutan itu, jemaah masjid berkenaan membuat laporan polis berkaitan video dan kisah yang tular itu untuk disiasat.
Kredit : Zuliaty Zulkiffli, Harian Metro (online)