Segalanya sudah tamat pada 29 November 2014 lalu. Malaysia telah menewaskan Singapura dengan keputusan tiga gol berbalas satu. Sememangnya ia suatu perlawanan yang rancak dan mendebarkan bagi penyokong dan peminat Harimau Malaya. Kejayaan melayakkan pasukan ke peringkat separuh akhir AFF Suzuki Cup 2014 pada 7 Disember 2014 amat melegakan perasaan rakyat Malaysia.
Namun seperkara lagi yang membanggakan ialah penyokong Harimau Malaya yang ditunjangi oleh Ultras Malaya dilihat amat berkesan dengan sorakan berirama dan nyanyian pembakar semangat untuk pemain yang mewakili Malaysia, diberikan tanpa jemu berterusan hatta selepas perlawanan tamat, mereka masih lagi memberi sokongan.
Malah salah seorang admin laman web Singasports.com telah menggariskan faktor sokongan dari Ultras Malaya telah menjana sokongan moral untuk pemain Harimau Malaya yang dilihat sorakkan dan nyanyian mereka lebih kedengaran dan kuat jika dibandingan dengan rakyat Singapura yang jauh lebih ramai dari kelompok penyokong Malaysia ini tetapi kurang patriotik.
Admin laman web itu juga menyatakan rakyat Singapura yang datang pada perlawanan itu bukannya penyokong sebaliknya hanyalah semata-mata sebagai penonton yang hadir membayar tiket untuk menyaksikan sesuatu perlawanan secara langsung sambil memakan popcorn serta memakai jersi kelab eropah.