Tekad membara Safee Sali


Penyerang skuad bola sepak Malaysia, Safee Sali berazam untuk mengulangi sejarah kemenangan menentang Vietnam dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010 apabila mereka bertemu lagi selepas empat tahun di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Safee ketika itu menjadi watak utama dengan menjaringkan dua gol ketika separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam pertemuan kedua di Vietnam, sekali gus membolehkan Malaysia melangkah ke pentas final.

Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Datuk K Rajagobal akhirnya muncul juara buat kali pertama sejak 1996 setelah menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir.

Menurut Safee, kejayaan yang dilakukan pada 2010 menjadi impian buat penyerang berusia 30 tahun itu untuk membantu Harimau Malaya kembali merampas kejuaraan yang dimiliki empat tahun lalu.

"Harap apa yang berlaku dua tahun lalu akan berulang sekali lagi Ahad ini, yang mana saya mendapat menjaringkan dua gol pada separuh akhir.

"Semangat saya cukup membara pada waktu ini selepas jaringan gol menentang Singapura dan mahu menjaringkan seberapa banyak gol seperti mana saya lakukan pada 2010," katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun Safee tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan silam itu sebaliknya mengakui perlu berusaha keras untuk meningkatkan tahap kecergasannya.

"Tahun 2010 merupakan satu kenangan, dan 2014 perjalanan baharu. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan menang di tempat sendiri bagi membolehkan kami membawa bekalan selesa (untuk pertemuan kedua di Hanoi).

"Saya sendiri pun sedang berusaha meningkatkan lagi tahap kecergasan supaya dapat beraksi penuh 90 minit," katanya.


*Sumber : Karangkraf

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan