Srikandi KEADILAN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga
Allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah yang berusia lima tahun, yang
meninggal dunia selepas dilaporkan hilang 13 hari lalu.
“Saya juga mengutuk penjenayah yang sanggup melakukan kekejaman ini. Ternyata penjenayah adalah seorang yang tidak dididik dengan norma sosial dan nilai hidup yang baik”, jelas Aishah.
1 Mac lalu, Nurul Nadirah, atau panggilan mesranya Dirang, dilaporkan hilang setelah keluar berseorangan ke kedai berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Johor.
Seminggu kemudian, polis menjumpai rangka manusia yang rentung di ladang kelapa sawit Nusa Damai. Keputusan DNA yang diperolehi semalam mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah mangsa.
Setakat ini, polis menahan empat suspek, termasuk bapa mangsa sendiri dan sepasang suami isteri untuk membantu siasatan.
Aishah turut berkata, sememangnya tragedi ini adalah satu ketentuan Tuhan, tapi ini tidak bermakna usaha pencegahan tidak perlu dipertingkatkan.
“Tragedi ini adalah susulan kes yang sama terjadi sebelum ini, dan kelemahan dan ketempangan sistem kawalan keselamatan, tidak mengira kawasan bandar atau luar bandar perlu diperbaiki.
“Kita bukan sekadar ingin penjenayah ditangkap dan dihukum sahaja, tapi lebih penting adalah untuk tidak membiarkan perkara buruk ini berulang”, kata Aishah kepada KeadilanDaily.
**Al-Fatihah untuk arwah dan salam takziah buat keluarganya...