Assalamualaikum.....
Peringatan dan tips-tips penjagaan kesihatan sudah sekian lama dipraktikan sejak zaman berzaman mengikut perkembangan teknologi perubatan pada zaman-zaman tertentu.
Dalam ajaran Islam, kita bukan sekadar dibimbing untuk menuju kehidupan di akhirat semata tetapi diajarkan juga serta diberi panduan dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Rasullullah SAW juga mengamalkan beberapa petua untuk menjaga kesihatan agar menjadi contoh pada umatnya. Ia bukan sahaja kesihatan dari segi fizikal malah juga terkandung penjagaan kesiahatan dari segi emosi (mental).
Antara beberapa cara hidup sihat sihat yang Baginda amalkan adalah :
Selalu bangun sebelum subuh
Rasulullah SAW mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi
melaksanakan solat sunat dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan
pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit
tibi serta memperkuatkan fikiran.
Kerap menjaga kebersihan
Rasulullah SAW sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda
mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai
minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut
bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai
harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
Makan sekadar yang perlu
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak
makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak
sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada
tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air
dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan
khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi
menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
Gemar berjalan kaki
Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi
rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka
dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk
mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa
menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak
betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi. Maksudnya tidaklah seandainya destinasi yang kita pergi itu jauhnya 30 kilometer perlu berjalan kaki, cuma jika tempat "parking" kereta agak jauh sedikit dari tempat yang dituju, ambillah peluang ini untuk "bersenam".
Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini
menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada
jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang
tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika
marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk,
maka perlu berbaring.
Kerana marah
itu daripada syaitan dan syaitan itu asalnya dari api, maka segeralah mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi
mendapat ketenangan serta menghilangkan kegelisahan di hati.
Optimis dan tidak berputus asa
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan
jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta
tawakal kepada Allah SWT.
Tidak pernah iri hati
Bagi
menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu
menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari
sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman
hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada
dibelenggu api kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.