Assalamualaikum.....
Di manakah Tuhan? Kenapa orang yang baik ditimpa kesusahan dan ketidakadilan? Kenapa orang yang jahat dan "berhati busuk" serta penuh hasad dengki boleh hidup senang dan payah nak mati?
Ada antara kita yang mengeluh dan merintih mencari di manakah Allah SWT ketika mereka sedang dilanda kesusahan dalam kehidupan. Mereka seolah-olah mempersoalkan Qada dan Qadar (ketentuan) dari Allah SWT terhadap segala yang berlaku di muka bumi ini.
Ramai manusia yang hanya "nampak" serta mencari Tuhan apabila dilanda kesusahan dan seperti melupakanNya apabila berada dalam nikmat dan kekayaan. Ada yang miskin tetapi tidak redha dengan ketentuan Allah SWT ada juga yang kaya tetapi kufur nikmat.
Alhamdulilah... pada pengalaman saya, walaupun belum sepenuhnya menjadi umat Islam yang terbaik, namun saya dapat merasai kehadiran Allah SWT di kala saya sedang dalam kesusahan dan keperitan hidup di dunia yang fana ini. Di kala semangat saya untuk hidup hampir punah, Dialah yang kembali "meniupkan" kebangkitan kekuatan dalam jiwa dan qalbu. Allah SWT sudahpun membuktikan kekuasaanNya pada setiap ciptaanNya dan juga setiap ciptaan manusia.....
Di saat saya sudah tidak berdaya untuk meneruskan kehidupan ini, Allah SWT "menghantar" seorang dua manusia untuk berada di sisi saya tika saya memerlukan teman untuk berbicara dalam mencari sisa-sisa semangat bagi bekalan meneruskan kehidupan ini.
Suka saya berkongsi dua perkara (ayat) berikut yang saya jumpa ketika mencari jawapan terhadap dugaan yang menimpa saya :
1) Apabila bangun dari tidur, tanya kepada diri sendiri :-
"kenapa Allah SWT masih hidupkan aku pada hari ini?"
Jawapan yang dicadangkan oleh Imam Al Ghazali ialah :
"kerana dosa aku terlalu banyak. Allah SWT masih izinkan dan berikan aku masa untuk aku bertaubat....."
2) Allah SWT telah memberitahu melalui firmanNya dalam Surah Al Baqarah, ayat 155 hingga 156 yang bermaksud :
"Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.....
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali....."
Rumusannya :
** Tuhan menduga manusia dengan pelbagai cara seperti dalam keadaan senang atau susah, dalam keadaaan berkuasa atau lemah, dalam keadaan miskin atau berharta.
Tuhan buat begini untuk menguji sama ada benarkah seseorang itu beriman kepadaNya dan layakkah seseorang itu untuk tinggal selama-lamanya di dalam syurga milikNya.....
** Ramai manusia merasai kehadiran Tuhan apabila mereka mencari Yang Maha
Esa ketika berada dalam kesusahan, namun amat sedikit manusia yang
merasai kehadiran Tuhan apabila mereka dalam "dunia" kesenangan dan
kemasyhuran....
Oleh itu bersyukurlah seandainya ada manusia yang dapat "merasai" kehadiran Tuhan dalam kedua-dua keadaan tersebut (ketika susah dan ketika senang)
** Tiap kesakitan dan dugaan adalah penghapus dosa-dosa kecil selagi manusia itu masih ada perasaan untuk menuju jalan keinsafanNya walau hanya sekelumit sahaja.