Pelbagai tarikan terbaharu sektor pelancongan di Melaka

 

Kerajaan negeri Melaka memperkenalkan perkhidmatan teksi air yang bakal menjadi tarikan terbaharu Sungai Melaka yang dijangka beroperasi menjelang Mac tahun depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, kewujudan produk baharu itu antara pembaharuan bakal dilaksanakan selepas pembangunan Sungai Melaka bagi fasa kedua berjaya direalisasikan.

Beliau berkata, perkhidmatan teksi air itu satu lagi alternatif dibangunkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sebagai pengangkutan awam.

"Perkhidmatan itu dijangka akan merangkumi perjalanan sejauh 4.5 kilometer dari Melaka Sentral hingga Bandar Melaka yang membabitkan lapan pusat hentian.

"Sebagai permulaan, kita akan menyediakan dua teksi air dan akan ditambah lagi jika mendapat sambutan baik daripada orang ramai kelak," katanya pada sidang media sempena Kejohanan Golf 2020 di Hotel Ames, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhamad Jailani berkata, Melaka bakal memiliki pelbagai tarikan pelancongan baharu bermula tahun depan bagi menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan pasca Covid-19.

Beliau berkata, antara yang sedang dalam proses pembinaan ialah sebuah rumah hantu dua tingkat yang akan dibina berhampiran Menara Taming Sari.

Katanya, pembinaan itu dijangka siap selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.

"Sebuah resort dilengkapi prasarana golf, 'club house', rawatan spa dan taman tema air juga sudah dibina di Ayer Keroh yang dijangka mampu merancakkan kembali pertumbuhan sektor pelancongan negeri ini.

"Kita juga sedang dalam proses akhir untuk menghidupkan semula Planetarium di kawasan Ayer Keroh yang mana kita percaya dengan adanya resort dan Planetarium yang kembali beroperasi itu, mampu membuka kira-kira 2,500 peluang pekerjaan di Melaka," katanya.

Kredit : mymetro

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan