By Admin at 12:20:00 am
Islam
Azan
merupakan salah satu syiar dalam Islam yang disyariatkan sebagai tanda
masuk waktu sembahyang fardu. Ia juga adalah satu ibadah kepada Allah
Taala yang tidak sah dilakukan kecuali oleh muazzin yang mencukupi
syarat-syaratnya.
Justeru para ulama yang membincangkan
berkenaan azan menegaskan bahawa tidak sah azan dilaungkan oleh orang
bukan Islam atau orang yang tidak siuman kerana tidak mencukupi
syarat-syaratnya. Al-Shirazi menyebut:
ولا يصح الأذان إلا من مسلم عاقل فأما الكافر والمجنون فلا يصح أذانهما لأنهما ليسا من أهل العبادات
Maksudnya: “Tidak sah azan kecuali daripada seorang muslim yang
berakal. Manakala orang kafir dan gila tidak sah azan mereka, kerana
mereka bukan dari kalangan ahli ibadat”. (Al-Muhazzab, 1/111).
Oleh itu laungan azan dengan menggunakan pita rakaman, cakera padat, dan
seumpamanya adalah tidak sah dan tidak dikira sebagai azan secara
syar’ie. Azan secara syar’ie mestilah dilakukan oleh seseorang mukallaf
yang mencukupi syarat-syaratnya.
Beberapa badan fatwa negara
Islam dan kesatuan fikah sedunia telah memutuskan bahawa azan melalui
pita rakaman dan seumpamanya adalah tidak sah.
Antaranya,
Majmak al-Fiqh al-Islamiy (Islamic Fiqh Council) yang bernaung di bawah
Muslim World League dalam persidangan ke-9 yang berlangsung di Makkah
pada tahun 1406H telah meluluskan resolusi berikut:
أن الاكتفاء
بإذاعة الأذان في المساجد عند دخول وقت الصلاة بواسطة آلة التسجيل ونحوها
لا يجزئ ولا يجوز في أداء هذه العبادة، ولا يحصل به الأذان المشروع، وأنه
يجب على المسلمين مباشرة الأذان لكل وقت من أوقات الصلوات في كل مسجد على
ما توارثه المسلمون من عهد نبينا ورسولنا محمد صلى الله علية وسلم إلى
الآن.
Maksudnya: “Laungan azan di masjid-masjid ketika masuk waktu
solat dengan menggunakan peralatan rakaman adalah tidak memadai, tidak
harus dalam menunaikan ibadah ini, dan tidak terhasil azan yang syar’ie.
Adalah wajib ke atas orang Islam untuk melakukan azan secara sendiri
setiap kali masuk waktu solat di setiap masjid, sebagaimana amalan yang
diwarisi oleh umat Islam sejak zaman Nabi dan Rasul kita Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam, hingga sekarang”.
Dalam masalah
kanak-kanak lelaki melaungkan azan, maka Mazhab Syafie dan Jumhur Ulama'
dari kalangan Hanafiah dan Hanabilah menegaskan azan tersebut adalah
tidak sah melainkan dia sudah Mumaiyiz iaitu sekitar usia 11 hingga 12
tahun sebelum baligh. Maka mereka menyimpulkan bahawa kanak-kanak lelaki
yang sudah Mumaiyiz boleh melaungkan azan dan sah azannya walaupun yang
lebih utama azan tersebut dilaungkan oleh lelaki dewasa.
Namun
yang demikian para ulama Malikiyah berpendapat kanak-kanak sama ada yang
belum baligh, diharamkan dari melaungkan azan sama ada sudah Mumaiyiz
atau tidak (Hashiyah Al-Dasuki 1/344).
Keterangan Jumhur
Ulama’ dapat dilihat pada keterangan Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani:
“Mereka (ulama' Hanafiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah) sepakat bahwa azan
dari anak yang sudah Tamyiz untuk jemaah dewasa statusnya sah”
(Ikhtilaf a’immatil-Ulama 1/94).
Azan oleh kanak-kanak yang
belum Mumaiyiz statusnya tidak sah dan wajib diulang walaupun suara
kanak-kanak itu seperti orang dewasa dan walaupun dia mempunyai bakat
melaungkan azan. Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani menjelaskan:
“Tidak sah azan kanak-kanak yang belum Mumaiyiz, dan laungannya tidak
menggugurkan kewajiban azan satu kampung.” (Al-Fiqh ‘Alaa Al-Madzahib
Al-Arba’ah, 1/463)