Demikian kata pelakon veteran, Gan Ee Kek atau lebih dikenali dengan nama Margaret Gan, 79, yang kini sudah memeluk agama Islam sejak 15 Februari lalu dengan rela hati dan ikhlas kerana Allah SWT.
Margaret dihubungi berkata anak tunggalnya, Muhammad Taufiq Gan, 37, adalah insan paling gembira dan bersyukur apabila dia menyuarakan kesediaan hatinya memeluk Islam dan menjadi seorang muslim.
"Anak saya memeluk Islam ketika dia berumur 14 tahun dan masih bersekolah. Kini, pada usianya sudah 37 tahun dan selepas 14 tahun dia sabar menunggu saya terbuka hati untuk mengikut sama dengannya menjadi seorang muslim.
"Saya bersyukur Allah membukakan pintu hati saya pada usia sekarang ini dengan memberikan hidayah-Nya dan sekali gus doa anak, menantu serta cucu dimakbulkan hingga saya kini seorang Islam dan muslim," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai pengalaman kali pertama berpuasa Ramadan, Margaret berkata dia seronok berpuasa dan pada masa sama dia juga setiap hari diundang menghadiri majlis berbuka puasa. Katanya, rezeki datang tidak putus-putus.
"Setiap jemputan itu bagi saya, rezeki daripada Allah. Kebetulan saya ada masa lapang, jadi buat apa nak tolak. Anak pun izinkan dan saya ke majlis itu dihantar oleh pemandu.
"Sekarang, saya menikmati sisa hidup ini dengan gembira dan bahagia. Alhamdulillah, anak saya adalah individu yang membimbing saya mendalami Islam. Malah, dua orang cucu saya juga suka mengajak solat bersama.
"Apapun, saya tertarik dengan agama Islam ini kerana melihat cara kehidupan anak saya dalam memimpin keluarganya. Jadi, saya yakin dia (anak) mampu juga membimbing saya menjadi seorang muslim yang baik," katanya.
Margaret berkata pada Ramadan ini, dia juga banyak berzikir kerana mengikut kata anak, seelok-eloknya berzikir lebih 1,000 kali itu banyak pahalanya.
Ujarnya, dia ikutkan saja apa yang disarankan Muhammad Taufiq dan alhamdulillah, hatinya amat tenang.
Ditanya juga mengenai kerjaya lakonannya, Margaret berkata dia sedia menerima tawaran berlakon dengan watak sesuai sebagai seorang muslim dan berhijab. Ujarnya, kini dia gembira mendapat rezeki berlakon drama radio di RTM.
Kredit : myMetro ( Norhayati Nordin )