Tiga wanita ditangkap kerana terbabit aktiviti persundalan

KOTA BHARU : Tiga wanita termasuk dua ibu tunggal, masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan, dengan menawarkan perkhidmatan seks.

Ketiga-tiga tertuduh, Nur Shamila Fakarozi, 22; Zawarni Zakaria, 30 dan Hidayah Abdul Rahman, 39, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan atau mana-mana maksud perbuatan lucah pada mana-mana tempat.

Kesalahan itu dilakukan oleh di sebuah rumah di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian di sini jam 3.45 petang pada 23 Februari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli dan S Gayathri.

Sementara itu, Zawarni diwakili oleh peguam, Mohd Nazri Awang, manakala Nur Shamila dan Hidayah pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan dan Ariayani Mohd Aamin.

Ketiga-tiga peguam memohon hukuman denda minimum dikenakan terhadap anak guam kerana itu kesalahan pertama mereka.

Mohd Nazri berkata, anak guamnya iaitu Zawarni tidak bekerja dan kini menetap bersama ibu dan bapanya, selain sudah insaf.

Roshayati yang mewakili Nur Shamila dalam rayuannya berkata, anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan seorang ibu tunggal yang perlu menjaga anaknya berusia setahun tiga bulan.

Sementara itu, Ariayani pula memohon agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman yang berat kerana Hidayah ibu tunggal kepada empat orang anak, termasuk tiga daripadanya masih bersekolah.

Mohamad Ibrahim kemudiannya membenarkan hukuman denda sebanyak RM2,000, selain penjara enam bulan kepada Zawarni dan dua bulan penjara terhadap Nur Shamila, sekiranya mereka gagal membayar denda yang ditetapkan.

Bagi Hidayah pula, Mohd Izuddin menetapkan hukuman denda RM2,000 dan tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.


Kredit : BH Online

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan