Ingkar arahan kuarantin, pesalah dikurung dalam rumah berhantu
Bosan dengan sikap sesetengah pihak yang enggan patuh pada arahan kuarantin, seorang ahli politik di Sragen, Jawa Tengah, Indonesia memutuskan untuk menghukum mereka dengan meletakkan pesalah di rumah berhantu, lapor AFP.
Bukan 'rumah hantu' yang di taman tema, tetapi lokasi bangunan terbengkalai yang dipercayai didiami entiti mistik yang ditakuti masyarakat setempat.
Yuni Sukowati mengeluarkan arahan itu minggu ini susulan kemasukan orang ramai secara besar-besaran ke daerah Sragen selepas Jakarta dan kota-kota besar lain ditutup.
Bagaimanapun ada dalam kalangan penduduk yang baru tiba itu tidak menghormati arahan kuarantin selama 14 hari untuk mencegah penyebaran COVID-19.
Sukowati mengarahkan rumah-rumah lama dan terbengkalai digunakan sebagai penjara untuk menempatkan golongan yang degil ini.
Di Indonesia, rumah-rumah seperti itu sering dikaitkan dengan fenomena mistik.
"Jika ada rumah kosong dan berhantu di kampung, letak dan kunci mereka di dalam," kata Sukowati kepada AFP ketika ditanya mengenai peraturan itu.
Antara yang menerima hukuman itu ialah Heri Susanto.
"Setakat ini saya belum terserempak dengan hantu.
"Tetapi kalau terjumpa, tak boleh buat apa-apa," kata Susanto, yang berasal dari pulau Sumatera.
"Saya sedar ini adalah untuk menjaga keselamatan orang ramai. Ini pengajaran untuk saya."