Asia Tenggara dijangka dilanda El Nino


Info berkenaan dengan El Nino dan La Nina :

- El Niño dan La Niña merupakan fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Putaran Selatan El-Nino (El Nino-Southern Oscillation - ENSO). Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika. "El Nino" dalam bahasa Sepanyol bermakna "anak lelaki" manakala "La Nina" pula bermakna "anak perempuan".


Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino, yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan, akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.

Pakar kaji cuaca tempatan belum dapat memastikan bahawa Malaysia akan mendapat tempias El Nino pada kali ini namun jika ia berlaku, kemungkinannya ialah Malaysia akan menghadapi keadaan musim kemarau berpanjangan selama enam bulan mulai pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, mereka mengingatkan pihak berkuasa, terutamanya yang berkaitan pengurusan bekalan air supaya membuat persediaan awal menghadapi fenomena El Nino itu bagi mengelakkan krisis bekalan air yang serius.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik. Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.


Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata hasil penyelidikan institusi itu yang menggunakan model ramalan dinamik ENSO (El-Nino Ayunan Selatan), ialah mereka meramalkan kebarangkalian 70 peratus 'El Nino' akan berlaku di Asia Tenggara.

"Kebarangkalian 70 peratus yang disebut bukan hanya berasaskan kepada model mereka sahaja tetapi menggabungkan maklumat dan kepakaran dari pusat-pusat Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) di seluruh dunia.
"Walaupun keadaan El Nino dijangka berkaitan dengan monsun barat daya yang lebih kering namun setakat ini pusat penyelidikan meteorologi di UK masih belum mengenal pasti kekuatan El Nino yang akan melanda Malaysia," katanya kepada di sini.

Beliau berkata, AWER telah memohon kerjasama daripada Pejabat Kaji Cuaca UK untuk mendapatkan pandangan alternatif mengenai kemungkinan berlakunya El Nino di rantau Asia Tenggara dan kesannya kepada iklim Semenanjung Malaysia.

Ditanya mengenai kesan yang akan berlaku kepada Malaysia jika El Nino melanda negara ini, Piarapakaran meramalkan bahawa ia akan menjejaskan dengan teruk keadaan bekalan air negara. Contohnya, jika paras air di empangan Sungai Selangor tidak mencapai kapasiti selamat iaitu 55 peratus, Piarapakaran berkata ia boleh menyebabkan kesan negatif yang lebih buruk menjelang pertengahan tahun ini.

"Jika ukuran kekuatan El Nino di tahap yang kuat, ia boleh menyebabkan kekeringan yang teruk, iaitu 60 peratus daripada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur akan menghadapi situasi yang lebih buruk berbanding catuan air yang mereka telah alami dalam tempoh dua bulan yang lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga empat tahun sekali.

Prof Dr Abdull Rahim berkata ukuran kekuatan El Nino di tahap yang kuat, boleh menyebabkan kekurangan air dan bekalan makanan akibat dari musim kemarau melampau dan antara tanda-tanda awal El Nino yang sudah dapat dilihat adalah statistik taburan hujan yang kurang daripada normal sejak kebelakangan ini.


"Bibit-bibit El Nino sudah mula kelihatan pada awal tahun ini yang mana menyaksikan taburan hujan yang amat sedikit daripada biasa, kurang daripada 50mm bagi sesetengah tempat dan jika benar El Nino akan melanda Malaysia, seharusnya pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan bekalan air mesti lebih bersedia lebih awal dalam menghadapi fenomena itu," katanya.

Malaysia pernah mengalami fenomena ini pada 1998, di mana suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengesahkan ada pemantauan ramalan fenomena El Nino yang dilaksanakan oleh WMO Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail yang dihubungi berkata setakat ini laporan yang diterima pada 15 April, ialah berlakunya pemanasan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik sepanjang Januari sehingga April.


*sumber : BERNAMA

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan