Pernahkah anda membaca Majalah Ujang (versi awal)?. Saya mula membacanya dan menjadi peminat majalah berkenaan, kalau tidak silap dalam tahun 1995. Semasa itu watak "Din Beramboi" amat terkenal dan majalah berkenaan sering mengadakan pelbagai peraduan untuk para peminat dan pembeli.
Melalui majalah ini, beberapa orang pelukis kartun berjaya dikadetkan oleh Ujang ( Ibrahim Anon) selaku pemilik dan pencipta asal Majalah Ujang
dan tampillah beberapa orang kartunis yang menggunakan nama sayur dan
buah-buahan seperti petai,kobis bunga, padi, ciku, lengkuas dan lain-lain. alah seorang dari pada mereka ialah Ubi.
salah satu watak ciptaan kartunis Ubi yang popular
Berikut adalah maklumat mengenai kartunis Ubi, yang diambil dari laman web beliau :
Ubi atau nama sebenar mengikut I/Cnya
adalah sebagai Raja Ahmad Kamil bin Raja Mokhtar, telah dilahirkan pada
26 Jun puluhan tahun yang lalu di Hospital Besar Kuala Lumpur, Wilayah
Persekutuan, Malaysia.
Beliau membesar bersama ibunya dan 3
orang lagi adik beradiknya di Taman Tas Kuantan Pahang. Sejak beliau
kecil lagi, ibunya yang penyayang lagi tabah tersebut sering membeli
majalah kartun Gila-Gila (dan beberapa majalah hiburan lain lagi)
sebagai bacaan santai mereka seisi keluarga. Kerana terpengaruh dengan
majalah tersebut dan juga ketidakcemerlangannya dalam bidang sukan, Ubi
telah menjadikan melukis kartun sebagai satu cara untuknya mengisi masa
lapang dan juga untuk berlagak best pada kawan-kawan yang cemerlang
dalam sukan.
Ketidakcemerlangannya dalam bidang sukan
terus dikekalkan sehingga ke sekolah menengah. Keadaan menjadi
bertambah buruk apabila akademiknya juga turut merosot. Berdasarkan
faktor-faktor tersebut, beliau dengan terdesaknya telah mengambil
keputusan untuk menjadikan kerjaya kartunis yang kononnya glamour itu
sebagai cara untuknya berjaya dalam hidup, dan juga sebagai batu
loncatan untuknya berkenalan dengan artis-artis atau model-model yang
cantik lagi glamour.
Berkat semangat model dan artis, Ubi
telah berjaya menempatkan diri dan karyanya di Majalah Ujang pabila
tamat persekolahan. Boleh dikatakan beliau adalah kartunis yang terbudak
di situ pada ketika itu. Sepanjang penglibatannya di majalah
tersebut, Ubi telah berjaya menipu ribuan orang untuk membaca dan
meminati hasil karyanya seperti ‘Budak Hostel’ (1994-1997), ‘Aku, Dia
& Volkswagen’ (1997-2002) dan ‘IN’ (1999-2002). Penipuannya itu juga
turut membuatkan beliau berjaya melariskan puluhan ribu buku koleksi
karya kartunnya.
Pada hari ini, selain daripada membuang
masa dengan bermain PS2, menonton DVD cetak rompak, Ubi juga adalah
seorang kartunis, pelukis komik, karikatur dan lelaki bebas sepenuh
masa. Dan pada hari ini juga, ketika artikel
ini ditulis, Ubi masih lagi menggunakan kartunnya untuk berlagak best
pada kawan-kawan yang cemerlang dalam arena sukan serta masih lagi
berusaha untuk dapat berkenalan dengan mana-mana artis atau model yang
cantik lagi glamour….