Tuaran, Sabah : Orang awam yang menggunakan Jalan Kiulu - Rondogung menghala Ranau disarankan mengikuti laluan alternatif di Jalan Tamparuli- Ranau selepas runtuhan tebing menghubungkan Kampung Lokos dan Kampung Pahu, Kiulu pada 17 Mei 2022.
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Farini Awang berkata, lokasi Jalan Pukak - Pahu - Nulu di Kilometer 19.2 itu ditutup pada 12 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima aduan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, pada 13 Mei lalu, berlaku runtuhan kecil di tebing laluan berkenaan selepas hujan berterusan sebelum satu arah laluan ditutup.
Kira-kira 5 petang 17 Mei itu, sekali lagi runtuhan berlaku di lokasi sama menyebabkan kedua-dua arah laluan ditutup atas faktor keselamatan pengguna.
Menurutnya, penduduk di sekitar lokasi juga boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Tomis Tiong - Lokos dan Jalan Bundu Tuhan.
"Kon keselamatan dan papan tanda bahaya dengan pantulan cahaya turut disediakan sebagai persediaan kerja-kerja penyelenggaraan."
"Pengguna diminta mematuhi arahan dan papan tanda yang disediakan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Sehubungan itu, JKR dengan kerjasama syarikat konsesi akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Kredit :
• My Metro